Home > Bahasa Melayu
BSAC kukuhkan semangat setiakawan pelajar Brunei-Singapura
December 5th, 2016 | 10:19 AM | 1119 views
GADONG
Ahad, 4 Disember. - Seramai 40 pelajar iaitu 20 pelajar Negara Brunei Darussalam dan 20 pelajar Republik Singapura bersama 10 'Chaperones' menyertai Perkhemahan Pengembaraan Kepimpinan Pelajar Brunei-Singapura Kali Ke-10 (The 10th Brunei-Singapore Student Leaders Adventure Camp -BSAC) Tahun 2016 Negara Brunei Darussalam yang bermula 3 hingga 7 Disember ini.
Sehubungan itu, satu Majlis Pembukaan Rasmi perkhemahan pengembaraan berkenaan telah diadakan bertempat di Pusat Pembelajaran Penuntut, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, di sini.
PESERTA-PESERTA BSAC Negara Brunei Darussalam mempersembahkan persembahan kebudayaan negara ini.
Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional), Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Dayang Marina Chek binti Bujang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Terdahulu, nyanyian Lagu Kebangsaan dari kedua-dua buah negara dimainkan dan diikuti dengan ucapan dari Ketua Unit Kegiatan Luar Sekolah, JSS, Kementerian Pendidikan, Pengiran Othman bin Pengiran Karim dan Ketua Delegasi republik tersebut, Timbalan Pengarah, Fizikal, Sukan dan Kegiatan Luar (Pendidikan Luar), Kementerian Pendidikan, Tuan Roy Lee Wei Yap.
KETUA Unit Kegiatan Luar Sekolah, JSS, Kementerian Pendidikan, Pengiran Othman bin Pengiran Karim semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.
Pengiran Othman dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan tahun ini menandakan 10 tahun BSAC sejak ditubuhkan pada tahun 2007 di Republik Singapura.
BSAC ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat setiakawan antara sesama peserta tetapi juga meningkatkan pengetahuan mengenai Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura terutama sekali dalam bidang sistem pendidikan, sejarah, sosial dan budaya.
Pada majlis itu, peserta-peserta BSAC dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura mempersembahkan persembahan kebudayaan masing-masing.
Antara lain tujuan perkhemahan pengembaraan tersebut diadakan adalah bagi membangun kepimpinan, pemikiran, penyelesaian masalah dan kemahiran membuat keputusan dalam setiap diri pelajar yang menyertai BSAC.
Dalam pada itu, pertukaran pelajar melalui perkhemahan pengembaraan ini merupakan elemen utama dalam Memorandum Persefahaman yang disepakat semasa mesyuarat di antara Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan Republik Singapura pada tahun 2006.
KOMANDAN II, Pengurus Acara, Awang Haji Morsidi bin Haji Tinggal semasa ditemu bual Pelita Brunei.
Semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, Komandan II, Pengurus Acara, Awang Haji Morsidi bin Haji Tinggal menjelaskan, perkhemahan ini adalah untuk kepimpinan pelajar yang mana akan diterapkan cara memimpin, mengasuh ciri-ciri kepimpinan yang ada pada diri setiap peserta BSAC melalui pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang perkhemahan pengembaraan berlangsung.
Menyentuh mengenai ciri-ciri kepimpinan pelajar tersebut jelasnya, sikap bertanggungjawab, pengurusan masa dan kepercayaan perlu ada pada diri mereka.
Di samping itu, Awang Haji Morsidi berharap kepada para peserta yang menyertai BSAC ini, akan dapat membina kepimpinan pada diri setiap peserta, dan akan mereka applikasikan di sekolah dan untuk masa depan mereka.
VENISSAZAINAB Anak Gaung, 16, pelajar dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali Kuala Belait semasa di temu bual Pelita Brunei.
Sementara itu, salah seorang peserta BSAC berkenaan ketika ditemui, Venissazainab Anak Gaung, 16, dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali Kuala Belait, pula menjelaskan, beliau merasa gembira dan tidak menyangka terpilih menyertai BSAC dan berpendapat peluang untuk menyertai kem tersebut amat tipis memandangkan ramai penuntut memohon untuk menyertainya.
Tambahnya, baru sehari berada di perkhemahan ini, beliau sudah mempelajari pengurusan masa, mempelajari ciri kepimpinan dan menyumbangkan idea-idea dan semangat kepada pasukan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]