Home > Bahasa Melayu
Kementerian Pendidikan Semarakkan Majlis Dikir Maulidur Rasul
MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman semasa hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Dikir Kementerian Pendidikan di Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. |PELITA BRUNEI (Hamzah Mohidin)
December 5th, 2016 | 10:27 AM | 1300 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Ahad, 4 Disember. - Sempena menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1438 Hijrah/ 2016 Masihi, Kementerian Pendidikan mengadakan Majlis Berdikir di Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini.
Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan bagi Kementerian Pendidikan dan dikendalikan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Urusetia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman.
Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar berserta pegawai-pegawai kanan dan warga Kementerian Pendidikan yang lainnya.
Majlis bermula dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diteruskan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam.
PARA pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang hadir di Majlis Dikir tersebut.
Acara kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Sementara itu, Awang Muhammad Qamarul Hazimin bin Haji Abdul Rahman dan Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghaffar, warga Kementerian Pendidikan ketika di temui berkata majlis ke masjid-masjid ini antara lain bertujuan untuk menggalakkan warga Kementerian Pendidikan untuk terus berselawat dan memuji Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menunjukkan rasa kasih sayang terhadap jasa-jasa Baginda yang telah memancarkan cahaya dan roh Islam kepada umat Islam.
Menurut mereka, gaya kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam haruslah dicontohi oleh semua umat.
"Bagi negara kita, Sambutan Maulidur Rasul dapat bertahan dengan baik dan masih giat diteruskan dari generasi ke generasi adalah kerana ia menunjukkan keyakinan yang kuat dalam kalangan generasi Islam pada masa dahulu dan sekarang dalam keagamaan," tambah mereka.
Juga hadir, pelajar-pelajar dari Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan yang terdiri daripada Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Universiti Teknologi Brunei dan Politeknik Brunei.
Rombongan kementerian tersebut akan meneruskan Majlis Dikir di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar pada hari Khamis 8 Disember 2016.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Aimi Sani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]