Home > Bahasa Melayu
Pembarigaan Tatacara Pengimportan dan Pengeksportan
PEMANGKU Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Hajah Khartini binti Haji Musa menyampaikan ucapan pada Jerayawara Kesedaran Awam Mengenai Pengimportan/Pengeksportan Komoditi Pertanian dan Perikanan di bawah Kawalan KSSUP.
December 15th, 2016 | 11:15 AM | 2230 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Rabu, 14 Disember. - Jerayawara Kesedaran Awam Mengenai Pengimportan dan Pengeksportan Komoditi-Komoditi Pertanian dan Perikanan di bawah kawalan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah dilaratkan ke daerah-daerah lain.
Bagi tujuan tersebut, pegawai-pegawai KSSUP telah memberikan penerangan kepada orang ramai, khususnya para pengusaha, pengimportan dan pengeksport di daerah ini.
Di jerayawara tersebut penerangan tentang prosedur dan peraturan mengimport dan mengeksport komoditi-komoditi pertanian dan perikanan termasuklah bahan-bahan yang berkaitan dengannya seperti baja, racun kimia pertanian, makanan ternakan dan yang sebagainya telah disampaikan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada jerayawara yang berlangsung di Rumah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, di sini, ialah Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP, Dayang Hajah Khartini binti Haji Musa.
TAKLIMAT disampaikan oleh Penolong Pegawai Haiwan, Ketua Unit Biosekuriti Haiwan, Bahagian Biosekuriti, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Sah Jara Thudor Nurul Maha Ani binti Mohd. Ayani (Aiani).
Taklimat-taklimat yang disampaikan semasa jerayawara ini diharap akan dapat menyerapkan dan membarigakan dengan jelas tentang tatacara pengimportan dan pengeksportan seperti prosedur permohonan permit atau lesen import dan eksport.
Ianya juga diharap akan dapat memudah cara urusan pengimportan dan pengeksportan komoditi-komoditi pertanian dan perikanan secara persendirian atau komersial.
Selain itu, jerayawara juga bertujuan untuk mengurangkan kes-kes ketidakpatuhan dalam proses import dan eksport sepertimana yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan yang mana kes-kes sedemikian pernah didapati terjadi di pos-pos kawalan darat, lapangan terbang, pelabuhan dan melalui mel udara.
Syarat-syarat import dan eksport bagi komoditi-komoditi pertanian dan perikanan yang disediakan adalah berpandukan kepada langkah-langkah 'Sanitary dan Phytosanitary' antarabangsa yang telah ditetapkan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti 'World Organisation for Animal Health, International Plant Protection Convention' dan 'CODEX Alimentarius'.
Taklimat-taklimat yang disampaikan adalah khusus bagi orang ramai terutamanya kepada pengusaha-pengusaha tempatan, syarikat-syarikat pengimport dan pengeksport komersial serta agensi-agensi penguatkuasaan yang bertugas di pos-pos kawalan rentas sempadan.
Seperti juga di Daerah Brunei dan Muara lalu, taklimat kali ini meliputi kepentingan untuk mendapatkan Sijil Kesihatan Haiwan dan Sijil Fitosanitari atau Sijil Kesihatan Tumbuhan (Phytosanitary Certificate) daripada pihak-pihak yang berwajib di negara-negara pengeksport.
Dokumen berkenaan merupakan pengesahan atau jaminan daripada negara pengeksport bahawa komoditi pertanian atau perikanan yang dieksport ke Negara Brunei Darussalam adalah selamat dan bebas daripada sebarang penyakit, agen pembawa penyakit atau musuh perosak tumbuhan.
Selain daripada permit atau lesen import, dokumen ini juga sangat penting untuk disertakan semasa mengisytiharkan komoditi pertanian dan perikanan yang diimport di pos-pos kawalan.
Bagi pengeksportan komoditi-komiditi perikanan, syarikat-syarikat pengeksportan perlulah juga mengetahui keperluan-keperluan negara-negara pengimport untuk dipatuhi seperti keperluan sijil kesihatan.
ANTARA yang hadir pada Jerayawara Kesedaran Awam Mengenai Pengimportan/Pengeksportan Komoditi Pertanian dan Perikanan di bawah Kawalan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Taklimat juga menjelaskan bahawa kuantiti kemasukan pengimportan komoditi-komoditi pertanian dan perikanan bagi pengimport komersial adalah tidak terhad.
Manakal kuantiti pengimportan persendirian adalah tertakluk kepada syarat-syarat import yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan di bawah KSSUP.
Kepentingan untuk mendapatkan permit atau lesen import dan eksport adalah bagi memudah cara proses kemasukan dan pengeluaran komoditi-komoditi pertanian dan perikanan melalui pos-pos kawalan di negara ini, yang memerlukan pemeriksaan dengan lebih bersistematik dan efisien daripada agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan yang berkaitan.
Ini adalah bagi memastikan tahap keselamatan komoditi atau barangan yang diimport dan dieksport adalah terbukti selamat untuk digunakan, bebas daripada sebarang penyakit, agen-agen pembawa penyakit, musuh perosak dan seterusnya akan melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna dan orang awam, termasuk kesejahteraan alam sekitar.
Pemeriksaan yang dilaksanakan juga bertujuan untuk melindungi industri-industri pertanian dan perikanan tempatan serta luar negara daripada ancaman penyakit, agen-agen pembawa penyakit atau musuh perosak yang diperolehi daripada komoditi-komoditi import dan eksport.
Secara amnya, permit atau lesen import akan dikeluarkan tertakluk kepada jenis komoditi atau barangan yang diimport dan tujuan pengimportannya, secara persendirian atau komersial.
Bagi pengimportan komoditi pertanian dan perikanan secara komersial, proses permohonan permit atau lesen import boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan 'Brunei Darussalam National Single Window' dengan melayari laman sesawang di www.bdnsw.gov.bn.
Manakala bagi pengimportan dan pengeksportan persendirian komoditi pertanian dan perikanan serta pengeksportan secara komersial komoditi perikanan orang ramai bolehlah memohon permit dan lesen eksport melalui kaedah online di http://biz.bruneimipr.gov.bn/eMIPR atau melayari laman sesawang www.mprt.gov.bn
Dokumen-dokumen bagi permit atau lesen import dan eksport yang telah diluluskan akan dikeluarkan oleh pihak agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dan orang ramai bolehlah mengambilnya di tempat-tempat yang telah disediakan serta menjelaskan kadar bayaran yang telah ditetapkan.
Juga hadir, pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan khususnya para pengusaha pengimport dan pengeksport yang menetap di Daerah Tutong serta wakil-wakil dari jabatan-jabatan kerajaan, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli daripada Persatuan Majlis Perundingan Kampung di daerah ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]