Home > Bahasa Melayu
Kepimpinan Satu Kelebihan Yang Diberikan Oleh Allah
MENTERI Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi selaku tetamu kehormat. |FOTO : PELITA BRUNEI (Masri Osman)
December 16th, 2016 | 10:35 AM | 1061 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Khamis, 15 Disember. - Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan seorang pemimpin yang teragung di dunia yang boleh dijadikan sebagai 'role model' bagi semua umat Islam serta panduan untuk kita menuju ke syurga Allah.
Hari kelahiran Junjungan Besar kita Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang disambut setiap 12 Rabiulawal adalah bagi memperingati akan pengorbanan dan perjuangan Baginda mengembangkan dan meninggikan syiar Islam.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Kesihatan Tahun 1438 Hijrah / 2016 Masihi berlangsung di Dewan Al-'Afiah, kementerian berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
PEMANGKU Rekor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad menyampaikan ceramah maulud.
Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Awang Hazri bin Haji Kifle, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin, Ketua-Ketua Fungsi, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan ceramah maulud yang disampaikan oleh Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.
Dalam ceramahnya yang bertajuk Kepimpinan antara lain menyentuh mengenai kepimpinan melalui tauladan.
Beliau turut menyentuh salah satu hadis Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud, setiap kamu adalah seorang pemimpin atau ketua dan akan dipertanggungjawabkan atas pimpinan kamu.
Jelasnya, Baginda memberikan empat contoh, iaitu seorang ketua sama ada ketua itu yang teratas hingga kebawah bermaksud sama ada pembesar negara, presiden, perdana menteri, menteri atau pegawai-pegawai kanan dan mereka ini akan dipertanggungjawabkan dengan di bawah pimpinannya, lebih besar darjat dan pangkatnya, lebih besar tanggungjawabnya.
Kedua katanya, seorang lelaki dalam ahli keluarganya adalah ketua pemimpin dan ia akan dipertanggungjawabkan siapa yang dipimpinnya di dalam rumahnya manakala seorang perempuan yang berumah tangga dalam rumah suaminya adalah seorang pemimpin dan ia bertanggungjawab di atas ahli keluarganya, iaitu anak suami dan orang yang ada dirumahnya.
Keempat jelasnya, ialah yang menjaga harta tuannya dan ia akan dipertanggungjawabkan ke atas apa yang diberikan tanggungjawab.
"Dalam hadis ini yang dapat kitani lihat bahawa kepimpinan atau pemimpin itu adalah dari semua peringkat inda semestinya dari seorang raja, perdana menteri, seorang presiden tetapi dalam Islam ini semua menjadi pemimpin," ujarnya.
SEBAHAGIAN pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan yang hadir pada majlis tersebut
Beliau menambah, dalam hadis Baginda menunjukkan tiga, iaitu kepimpinan, tanggungjawab dan akauntabiliti.
Menurutnya lagi, peringkat kepimpinan ini adalah suatu kelebihan atau pemberian Allah Subhanahu Wata'ala dan kita sebagai seorang manusia menginginkan kelebihan-kelebihan tetapi tidak menyedari akan tanggungjawabnya.
Majlis kemudian diteruskan dengan Dikir Maulud sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan diakhiri dengan bacaan Doa Dikir.
Sambutan merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Kesihatan dalam sama-sama meraih keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Ia juga bertujuan untuk memeriahkan suasana Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai nabi pemimpin dan juga bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga kementerian.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Saerah Haji Abdul Ghani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]