Home > Bahasa Melayu
Sambutan 50 Tahun Menaiki Takhta Satu Sejarah
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah Sempena Awal Tahun Masihi 2017 berlangsung di Istana Nurul Iman. |FOTO : PELITA BRUNEI (Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)
January 1st, 2017 | 08:51 AM | 2907 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sabtu, 31 Disember. - Keamanan adalah penting, kerana tanpa keamanan, pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan. Oleh itu, rukun keamanan, mustahaklah dipelihara dan diamalkan iaitu memegang kuat ajaran ugama, mematuhi undang-undang serta hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu. Inilah rahsia keamanan itu.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah namun perlu diingat anasir-anasir anti keamanan dan ketenteraman tidak pernah lupa untuk mengeruhkan keadaan.
"Mereka tidak pernah sealiran tujuan dengan kita. Kerana itu kita perlu berhati-hati terhadap mereka itu. Ini adalah tanggungjawab besar semua pihak, terutama, siapa yang secara khusus ada berkaitan dengan keselamatan," titah baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian Sempena Menyambut Awal Tahun Baharu Masihi 2017 di Istana Nurul Iman.
Baginda menekankan, usaha-usaha juga perlu diambil untuk menghadapi ancaman yang datangnya daripada dunia siber dan media sosial, termasuk juga untuk memperkukuh lagi perkongsian strategik dengan institusi-institusi keselamatan siber antarabangsa.
Dari sudut ekonomi titah baginda, dunia kita masih saja mengalami keadaan ekonomi yang tidak menentu. Namun kita bersyukur dengan langkah-langkah pembaharuan yang diambil serta pendekatan 'whole-of-nation', maka dapatlah kita menyaksikan peningkatan kedudukan negara dalam 'ease of doing business', sebagaimana laporan oleh Bank Dunia.
"Pencapaian ini terhasil daripada komitmen dan kerjasama erat di antara agensi-agensi kerajaan dan lain-lain pihak yang berkepentingan. Namun kita tidak wajar untuk cepat berpuas hati, tetapi sebaliknya perlu lebih aktif dan lebih tinggi semangat pada meningkatkan lagi pencapaian tersebut," titah baginda.
Seperti yang berlaku di mana-mana jelas baginda, kita juga adalah mempelawa pelabur-pelabur langsung asing untuk melabur di negara ini.
"Pada setakat ini alhamdulillah, beberapa Pelaburan Langsung Asing (FDI) telah pun mula bertapak di negara ini, manakala pelbagai program dan inisiatif juga ada dirancang dan dilaksanakan bagi membantu golongan peniaga dan pengusaha tempatan, terutama Pengusaha Kecil dan Sederhana atau MSME. Ini adalah satu harapan, bahawa ekonomi negara sedang dipacu, untuk menjadikannya berdaya tahan," titah baginda.
Bertitah mengenai Perkhidmatan Awam di negara ini, baginda ingin melihat ianya terus meningkat dan produktif.
"Beta percaya masih banyak lagi yang boleh diperbaiki, terutama mengenai penerapan nilai-nilai utama dalam Perkhidmatan Awam. Beta mahu supaya jentera kerajaan kaya dengan disiplin dan kaya dengan amanah dalam menjalankan tugas, sebagai cara untuk kita meraih berkat dalam perkhidmatan," titah baginda.
Mengenai bidang pendidikan titah baginda, usaha adalah sedang dibuat untuk memperluaskan saliran pendidikan, di samping mempertingkatkan kualiti bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.
Keutamaan ialah memperkasa kualiti guru, tegas baginda, untuk menjadikan mereka itu individu-individu pendidik yang berprestasi tinggi.
Di arena antarabangsa menurut baginda, kita akan sentiasa memainkan peranan positif ke arah kesejahteraan dan keamanan serantau mahupun global.
Secara jujur titah baginda, kita mengharapkan supaya ASEAN akan terus kekal menjadi pertubuhan serantau yang sentiasa dihormati kerana prinsip-prinsipnya yang jelas untuk kebajikan.
Titah baginda, pada tahun 2017 ini, kita akan merayakan ulang tahun ASEAN ke-50, adalah diharapkan supaya kerjasama yang baik akan terus berlangsung di antara negara-negara ahli ASEAN, demi untuk kepentingan Wawasan Komuniti ASEAN 2025.
Terdahulu baginda bertitah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin-Nya jua, kita kini sedang melangkah ke ambang Tahun Baharu Masihi 2017.
Titah baginda, kita akan meninggalkan Tahun 2016 dengan seribu kenangan, di antaranya ialah kenangan manis dapat menikmati keamanan dan kemakmuran di negara yang bertuah ini.
Maka untuk itu titah baginda, marilah kita sama-sama merafa'kan syukur serta doa, semoga keadaan yang seperti ini akan dapat pula dinikmati dalam tahun 2017.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Abdullah Asgar, Nooratini Haji Abas
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]