Home > Bahasa Melayu
Kebawah DYMM Berangkat ke Upacara Pengebumian Ketua Menteri Sarawak
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa menunaikan Solat Jenazah di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching, Sarawak. |FOTO : PELITA BRUNEI (Muhammad Azmi Awang Damit)
January 13th, 2017 | 08:13 AM | 1611 views
KUCHING, SARAWAK
Khamis, 12 Januari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini selamat berangkat tiba di Kuching, Sarawak untuk menghadiri Upacara Pengebumian Allahyarham Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem, di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dijunjung oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Mohd. Asfia bin Awang Nassar selaku Menteri Pengiring dan isteri; dan Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Belia dan Sukan, Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan menyiram air asah-asahan semasa upacara pengebumian Allahyarham Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem, di Tanah Perkuburan Islam di Samariang, Petra Jaya, Kuching.
Turut hadir menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Taha.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menuju ke Masjid Jamek, Petra Jaya bagi upacara penghormatan terakhir, dan seterusnya solat zohor dan solat jenazah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung berangkat bagi menyertai upacara pengebumian Allahyarham Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem, di Tanah Perkuburan Islam di Samariang, Petra Jaya, Kuching.
Allahyarham Tan Sri Dr. Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem meninggalkan seorang isteri, Yang Amat Bahagia Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu, empat orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia semasa berangkat bagi menyertai upacara pengebumian Allahyarham Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem, di Tanah Perkuburan Islam di Samariang, Petra Jaya, Kuching.
Beliau dilahirkan pada tahun 1944 di Kuching, Sarawak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Joseph, Kuching, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.
Beliau telah memulakan karier sebagai Majistret di Kuching pada tahun 1970, dan kemudian menyertai politik di mana beliau menjadi Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah Sarawak pada 1987 to 1992.
Allahyarham Tan Sri Dr. Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem telah dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat persekutuan pada tahun 2004 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Menteri kelima Sarawak pada 28 Februari 2014.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Siaran Akhbar Jabatan Perdana Menteri
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]