Home > Bahasa Melayu
ATV Terokai Keindahan Alam, Berpotensi Tarik Pelancongan
January 29th, 2017 | 08:28 AM | 1872 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sabtu, 28 Januari. - Hambatan kengkangan waktu bukan masalah utama dalam mengisi masa dengan hobi yang dilakukan atau melakukan riadah dengan aktiviti berfaedah lebih-lebih lagi trend generasi anak muda sekarang suka kepada sukan yang lasak.
Pelita Brunei sempat membuat pendekatan dengan salah satu aktiviti yang boleh dikatakan agak mencabar iaitu sukan ATV atau kenderaan pelbagai permukaan (All Terrain Vehicle).
Walaupun pengendalian kenderaan ini umpama motosikal namun bagi mereka yang pertama kali memandu ATV ini agak sukar kerana kenderaan ini mempunyai empat roda.
Walaupun biasa dengan motosikal, kenderaan ini tetap memberi cabaran ketika mengendalikannya apatah lagi kawasan yang dilalui berbukit dan curam.
Pengurus Syarikat AVH ATV, Awang Mohamad Azni bin Dato Paduka Haji Alidin semasa ditemui berkata, ATV ini digunakan di kawasan-kawasan di mana kenderaan biasa sukar untuk melaluinya dan di kebanyakan negara ATV ini hanya dibenarkan untuk digunakan di kawasan 'off road' sahaja termasuk negara kita.
Memandangkan para peminat aktiviti itu semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminatnya, syarikat yang ditubuhkannya sejak Jun 2014 itu sekarang mempunyai lebih 20 buah ATV bersaiz besar dan sederhana di samping menawarkan pelbagai perkhidmatan selain dari menyewakannya bagi pengunjung Pantai Tungku berbanding empat buah pada permulaannya.
''Kami beroperasi pada setiap hari minggu di Pantai Tungku akan tetapi kami menawarkan perkhidmatan Guided ATV Adventure Tour setiap hari di tiga lokasi yang berlainan tertakluk kepada permintaan daripada pelanggan kami,'' katanya.
Awang Mohamad Azni menjelaskan, beriadah menggunakan ATV adalah antara salah satu aktiviti yang dapat dilakukan bagi mengisi masa lapang pada hujung minggu, cuti awam atau semasa musim cuti persekolahan.
Selain beriadah menggunakan kenderaan itu di sekitar kawasan Pantai Tungku, tambahnya, 'Guided ATV Adventure Tour' juga merupakan salah satu aktiviti riadah menggunakan ATV yang semakin meningkat popularitinya di negara ini.
'''Guided ATV Adventure Tour' bermaksud pengembaraan melalui kawasan pesisiran pantai ataupun kawasan taman perkebunan dengan menggunakan ATV yang dibawa oleh jurupandu kami yang berpengalaman.
''Aktiviti riadah ini boleh dikatakan agak baharu di Negara Brunei Darussalam dan merupakan salah satu produk pelancongan yang semakin diminati bukan sahaja oleh penduduk tempatan bahkan para pengunjung dari luar negara,'' jelasnya lagi.
Awang Mohamad Azni seterusnya menyatakan bahawa hampir separuh pelanggan yang mereka bawa merupakan pelancong yang ingin melihat keindahan pantai dan kampung di negara ini dan mereka amat berpuas hati dan teruja dengan pengalaman yang mereka dapat dari program yang ditawarkan itu.
Katanya, pada masa ini, syarikatnya menyediakan kemudahan sukan ATV di tiga tempat iaitu dari Pantai Tungku ke Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas dan kembali semula ke Pantai Tungku, Katimahar Agri Park di Kampung Katimahar dan Bintudoh Greenspring Resort di Kampung Lamunin, Tutong.
Pengembaraan menggunakan ATV ini secara puratanya mengambil masa selama satu ke dua jam setengah tertakluk kepada tempat, keadaan dan jumlah orang yang menyertai pengembaraan berkenaan.
Sementara kadar sewa bagi program yang ditawarkan itu tertakluk kepada tempat dan saiz ATV yang dipilih oleh pelanggan. Mereka yang memilih Katimahar Agri Park 'beginner trail', akan dikenakan bayaran BND45 setiap sebuah yang bersaiz sederhana.
''Dari jumlah penyewaan itu, BND5 akan kami berikan kepada Majlis Perundingan Kampung (MPK) sebagai bayaran masuk dan secara tidak langsung, kami juga membantu MPK Katimahar menaikkan ekonomi kampung berkenaan,'' katanya lagi.
Walaupun aktiviti ini lasak namun amat menitikberatkan keselamatan dengan penggunaan helmet atau topi keledar untuk digunakan sepanjang pengembaraan.
Beliau menerangkan, sebelum setiap pengembaraan dimulakan, pihak kami akan memberikan penerangan tentang peraturan-peraturan yang harus dipatuhi antaranya pelanggan tidak dibenarkan berlumba atau memotong orang yang di hadapan mereka. Jika mereka tidak mematuhi peraturan yang telah kami tetapkan, kami berhak memendekkan atau memberhentikan pengembaraan berkenaan.
Dan bagi yang belum pernah memandu, tambahnya, pihaknya akan memberikan mereka tunjuk ajar dan masa untuk mencuba ATV yang mereka pandu. Ini membolehkan mereka membiasakan diri sebelum memulakan ‘adventure tour’ berkenaan.
Sebenarnya antara tujuan utama ‘adventure tour’ ini adalah untuk memperkenalkan dan menerokai keindahan negara ini sama ada kepada penduduk tempatan mahupun pelancong asing. Ini bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong asing berkunjung ke negara kitani dan menawarkan pelbagai produk-produk pelancongan. Pada masa yang sama juga, menggalakkan penduduk negara ini untuk lebih mengenali negara sendiri melalui program Kenali Negara kitani (KNK).
Bagi menyahut hasrat kerajaan ini, pihak kami telah mengambil inisiatif dengan mengembangluaskan lagi perkhidmatan kami ini.
''Alhamdulillah, pihak Jabatan Kemajuan Pelancongan memberikan sokongan di atas usaha-usaha kami dalam membantu menambahkan lagi produk-produk pelancongan di Negara Brunei Darussalam.
Respons daripada penduduk tempatan dan para pelancong amat menggalakkan dan meningkat dari semasa ke semasa terutama sekali pada musim percutian sekolah di mana orang ramai menggunakan perkhidmatan ‘adventure tour’ kami untuk beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan. Di samping itu juga, kami telah bekerjasama dengan beberapa buah hotel di negara ini dengan menawarkan 'Guided ATV Adventure Tour' kami di dalam pakej promosi mereka,'' ujarnya.
Selain itu, AVH ATV Brunei juga menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti acara-acara persendirian, korporat, karnival, ‘pre-wedding’, ‘graduation photoshoot’ dan sebagainya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]