Home > Bahasa Melayu
Berhemah menggunakan masa
SEMBAHYANG Fardu Subuh Berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Abdul Hamid. |Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
February 6th, 2017 | 10:16 AM | 1102 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 5 Februari. - Aktiviti mingguan Bandarku Ceria diteruskan lagi pada minggu pertama bulan Februari 2017 ini dengan Program Masjidku Makmur Negara Berkat yang diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, di sini.
Program yang mengalu-alukan kehadiran jemaah ke arah memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah merupakan kelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Da'wah Islamiah (PDI) dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam.
Antara yang hadir bagi sama-sama menjayakan program berkenaan, ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud dan datin; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan KHEU.
Program 'Masjidku Makmur Negara Berkat' ini turut diserikan dengan tazkirah pagi yang menyentuh perihal masa dan telah disampaikan oleh Pegawai Da'wah Kanan dari PDI, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Ahmad.
Dalam tazkirah tersebut, beliau turut menghuraikan pengajaran yang diambil daripada Surah Al-'Asr yang menyebutkan perihal masa yang sangat berharga, dan demi masa, umat Islam adalah diseru agar menggunakan masa dengan sebaik-baiknya serta agar terhindar dari tergolong dari orang-orang yang rugi dengan beriman, beramal soleh, menyeru manusia dengan perkara-perkara yang hak dan bersabar.
Terdahulu, Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah telah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Abdul Hamid.
Dengan penganjuran program tersebut diharap akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam rumah Allah dan dapat menimbulkan rasa persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan beramal ibadat bersama-sama.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]