Home > Bahasa Melayu
Berusaha tingkatkan kapasiti, profesionalisme pegawai
MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sesi Muzakarah Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2017 | Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali
February 7th, 2017 | 09:38 AM | 1061 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Februari. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus menerus berkembang dalam 'core business'nya dan mencapai kemajuan dalam bidang-bidang persekolahan dan pendidikan ugama, ehwal masjid, pengembangan dakwah, perundangan syariah, pemakanan halal, pengutipan dan pengagihan zakat, pengurusan ibadat haji dan umrah, pengurusan koporat dan pengembangan syiar Islam melalui acara-acaranya yang tertentu, serta bidang-bidang lain yang berkaitan dengan ehwal ugama.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata, sehubungan dengan itu, tentu sahaja KHEU berusaha meningkatkan kapasiti dan profesionalisme pegawai-pegawainya.
''Ini sangat penting supaya para pegawai tersebut mampu memberikan perkhidmatan yang selaras dengan piawaian perkhidmatan cemerlang Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,'' ujar Yang Berhormat pada Muzakarah KHEU bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2017 berlangsung di Dewan Multaqa, kementerian berkenaan.
KHEU, jelas Yang Berhormat juga berusaha supaya generasi baharu pegawai-pegawainya yang beruntung mendapat pendidikan yang baik akan berupaya mengolah diri mereka untuk dapat berbaur serasi dengan rakan-rakan mereka dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang lain.
Para pegawai dan rakan-rakan sebaya mereka itu, menurut Yang Berhormat, adalah generasi baru negara ini dan perlu terus menjalin rangkaian kerja, 'networking' yang kukuh sebagai satu pasukan yang berperanan sama untuk kebaikan rakyat, negara dan kerajaan pada masa hadapan.
Yang Berhormat menambah, negara kita Brunei ini sangat bertuah kerana di bawah kepimpinan pemerintahan beraja, ehwal ugama diurus tadbir dalam 'main stream' perkhidmatan kerajaan.
Kerana itu pula jelas Yang Berhormat, ajaran ugama telah dapat berkembang dan dihayati, sesuai dan serasi dengan iklim politik dan sosiobudaya Brunei, serta hasilnya ialah ugama dapat berfungsi dengan baik, menjadi tunjang keutuhan negara dan yang penting diingat bahawa negara selama ini telah menjadikan ugama itu suluh dan pedoman pemerintahan yang baik dan berkesan.
Yang Berhormat percaya Ahli-Ahli Yang Berhormat pada masa ini dan pada masa akan datang akan turut memastikan perkhidmatan ehwal ugama sentiasa kukuh dan berkembang sebagaimana semestinya.
''Kerana itu dalam kesempatan ini, saya mengalu-alukan pandangan dan buah fikiran Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Tambahan pula Ahli-Ahli Yang Berhormat pada masa ini adalah merupakan satu kombinasi pelbagai latar belakang ilmu dan pengalaman. Dan seterusnya dalam lantikan yang baharu sekarang terdapat Ahli-Ahli Yang Berhormat yang benar-benar mewakili generasinya pada masa ini,'' ujar Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat juga menaruh kepercayaan bahawa, Ahli-Ahli Yang Berhormat dari generasi muda yang baru dilantik akan sama berperanan melakar kaedah-kaedah yang betul dan tepat bagi kesempurnaan masa hadapan Brunei dengan corak dan acuan 'impretive' kenegaraannya sebagai negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat demokratik bersendikan ajaran Islam Ahli Sunnah Waljamaah.
Terdahulu, Yang Berhormat menjelaskan, sesungguhnya kita adalah mendapat penghormatan menduduki MMN dengan masing-masing menurut kategori lantikan, termasuk Yang Berhormat sebagai Ahli Rasmi Kerana Jawatan.
Jelas Yang Berhormat lagi, penghormatan itu serentak dengan taklif atau 'tasking' berupa tanggungjawab memegang amanah untuk menjayakan MMN yang diadakan semula itu dan kita 'mempunyai tanggungjawab untuk memartabatkan MMN sebagai institusi yang dihormati serta boleh berfungsi sebagai forum perbincangan yang betul-betul membina', iaitu sebagaimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam titah 13 tahun yang lalu semasa Istiadat Pembukaan Rasmi MMN pada hari Sabtu, 10 Syaaban 1425 Hijrah bersamaan 25 September 2004 Masihi di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Yang Berhormat menambah, sekarang ternyata bahawa penubuhan semula MMN semenjak hampir 13 tahun itu adalah menepati hasrat baginda 'untuk mewujudkan struktur perundingan yang lebih formal'.
Penubuhan semula itu terang Yang Berhormat, ialah setelah baginda menilai keperluan dan kesesuaiannya dan dalam titah baginda menyatakan bahawa 'Kita sedia maklum, orang Brunei mempunyai cara mereka menyalurkan harapan dan masalah melalui pelbagai peringkat. Sudah barang tentu mereka akan mengalu-alukan penubuhan semula MMN ini, yang penubuhannya menambahkan lagi forum atau wadah tempat menyalurkan pendapat dan pandangan'.
''Maka Alhamdulillah dan dengan izin Allah serta dengan berkat kepimpinan bijaksana Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, MMN telah menepati fungsinya, walaupun baru dalam usia kurang dari dua dekad. Ternyata bahawa fungsinya itu adalah serasi dengan cara kita di negara ini menyuarakan pendapat ataupun merespons kepada sebarang perkara dengan ikhlas dan cara yang terhormat bersopan santun. Tegasnya melalui MMN sekarang kita berunding. Kita bermuzakarah. Kita saling ingat-mengingati. Semuanya demi kebaikan bersama kerajaan dan rakyat,'' ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat menambah, dalam prosesnya kita akan sentiasa taat setia mendukung kepimpinan pemerintahan beraja dan kepimpinan pemerintahan yang telah berjaya memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan kesentosaan kepada negara.
Dalam hubungan inilah tegas Yang Berhormat lagi, KHEU sangat menghargai Forum Muzakarah Pra-Persidangan MMN ini dan semoga maklumat yang diperolehi mengenai 'core business' kementerian dan usaha-usaha menjayakannya diharap akan membantu Ahli-Ahli Yang Berhormat memberikan 'input' yang sangat berharga untuk sebarang pembaikan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]