Home > Bahasa Melayu
Institusi keluarga berperanan penting pelihara kesejahteraan negara
MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika menghadiri 1st Ministerial Conference on the Marriage and Family Institution), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). | Foto: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
February 11th, 2017 | 07:51 AM | 1474 views
JEDDAH, ARAB SAUDI
JEDDAH, ARAB SAUDI, Khamis, 9 Februari. - Institusi keluarga memainkan peranan sangat penting dalam proses pembangunan negara dan dalam usaha untuk memelihara kesejahteraan masyarakat, komuniti dan juga negara.
Keluarga yang sihat, harmoni dan kukuh akan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, rakyat yang bersepadu, dan pembangunan negara yang mantap dan berdaya tahan.
Dari itu, adalah sangat penting untuk setiap negara termasuk Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan dan menggandakan usaha untuk menubuhkan dan membangunkan keupayaan untuk memperkukuhkan institusi keluarga, demi untuk kesejahteraan semua.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof berucap demikian semasa menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Kali Pertama mengenai Institusi Keluarga dan Perkahwinan (1st Ministerial Conference on the Marriage and Family Institution), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dihadiri Menteri-Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keluarga pada 8 hingga 9 Februari 2017 diadakan di Conference Palace, Jeddah, Arab Saudi.
Menurut Yang Berhormat lagi, kestabilan institusi keluarga boleh diperkukuhkan dan dipertahankan melalui mewujudkan suasana saling membantu, bekerjasama dan menghormati bukan sahaja di antara sesama ahlinya terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak, tetapi juga komuniti setempat dan semua pihak yang berkepentingan.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memberikan penekanan yang tinggi ke atas kepentingan keluarga dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara dan penduduknya.
Ini ujar Yang Berhormat, boleh dilihat dari segi kemudahan yang telah disediakan dan juga perundangan yang telah diperkenalkan sejak tahun 1999 yang bertujuan memelihara dan menjaga keselamatan dan memastikan hak orang yang dilindungi juga diberi keutamaan.
Dalam mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menyatakan penghargaan tinggi kepada Sekretariat OIC dan juga Kerajaan Arab Saudi atas penganjuran persidangan tersebut yang telah berhasil mengetengahkan peranan institusi keluarga dalam proses pembangunan, dan juga dalam menunjukkan kepada dunia sejagat mengenai keprihatinan dunia Islam terhadap isu-isu kesejahteraan keluarga dan juga wanita dalam kalangan negara-negara Islam, terutama sekali dalam era masa kini di mana institusi keluarga tercabar oleh perkembangan cara hidup yang banyak dipengaruhi budaya dunia luar.
Persidangan yang bertemakan ‘Towards an OIC Approach to Empower the Marriage and Family Institution and Preserve its Values’ melihat kepentingan untuk mewujudkan satu rangka dan mekanisme yang mengukuhkan peranan negara dalam penyelarasan bersama institusi antarabangsa yang bertanggungjawab bagi keluarga, wanita dan kanak-kanak.
Persidangan ini juga mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh institusi kekeluargaan dan perkahwinan serta cadangan bagi penyelesaian yang mampan dalam menghadapi cabaran pada setiap peringkat.
Pada akhir persidangan satu dokumen deklarasi (Jeddah Declaration) telah dikeluarkan yang antara lain menekankan bahawa institusi keluarga adalah tunjang masyarakat dan adalah penyumbang utama dalam usaha-usaha pembangunan, dan dari itu menggesa negara-negra ahli untuk meningkatkan usaha untuk melaksanakan dasar-dasar, strategi dan mekanisme-mekanisme yang akan mengukuhkan institusi perkahwinan dan keluarga, dan memelihara nilai-nilai kekeluargaan.
Persidangan juga menggesa negara-negara ahli untuk mengambil langkah-langkah yang lebih kukuh terhadap keselamatan dan kesejahteraan kaum wanita dan kanak-kanak, di samping kumpulan-kumpulan seperti warga emas dan warga kurang upaya.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Buruh dan Pembangunan Sosial, Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dr. Ali bin Nasser al-Ghamis, dan dihadiri sama oleh Setiausaha Agung OIC, Tuan Yang Terutama, Dr. Yousef Ahmed Al-Othaimeen.
Mengiringi Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ke mesyuarat tersebut, ialah Pemangku Konsul Agung, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah, Arab Saudi, Pengiran Haji Irman bin Pengiran Haji Othman dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]