Home > Bahasa Melayu
Naubat dibuka semula
February 11th, 2017 | 07:54 AM | 1159 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 10 Februari. - Pembukaan semula Naubat telah selamat sempurna setelah ditutup selama 14 hari berikutan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Pengiran Hajah Siti Hawa binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman.
Majlis Istiadat Membuka Naubat telah berlangsung di Bangunan Lapau, Bandar Seri Begawan dengan penuh adat istiadat di hadapan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Manakala bacaan Doa Tahlil dan diikuti dengan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dikepalai oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis disusuli dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang telah diimamkan oleh Yang Berhormat
Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Allahyarham Pengiran Hajah Siti Hawa binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman kembali ke rahmatullah pada Jumaat, 29 Rabiulakhir 1438 Hijrah bersamaan 27 Januari 2017 Masihi, pada jam 7.30 pagi.
Antara yang berangkat dan hadir pada majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan serta Orang-Orang Bergelar.
Sementara itu, di Istana Nurul Iman, Naubat juga dititir sebelum masuk waktu Sembahyang Fardu Maghrib.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]