Home > Bahasa Melayu
Muzakarah Menteri Kesihatan bersama Ahli MMN
February 12th, 2017 | 07:43 AM | 1065 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 11 Februari. - Kementerian Kesihatan telah mengadakan Sesi Muzakarah bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dalam menekankan tiga keutamaan strategik kementerian berkenaan ke arah mencapai objektif Wawasan Brunei 2035 dan visi 'Bersama Ke Arah Warga Sihat'.
Hadir mempengerusikan Sesi Muzakarah yang berlangsung di Bilik Kuliah, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di sini bagi Kementerian Kesihatan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Sementara itu, seramai 20 Ahli-Ahli MMN menghadiri Sesi Muzakarah yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim.
Tiga keutamaan strategik kementerian iaitu menerapkan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab semua (health is everyone's business); mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs) dan memberikan perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan (consolidation) dan pensejajaran (realignment) perkhidmatan-perkhidmatan penjagaan kesihatan demi memberikan nilai tambah kepada para pelanggan ataupun orang awam dan mengurangkan serta menghentikan pembaziran (wastages).
Majlis muzakarah diisikan dengan Sesi Taklimat mengenai perkembangan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, cabaran-cabaran dan usaha-usaha terkini yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.
Taklimat disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar), Dr. Hazri bin Haji Kifle dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin.
Sesi Muzakarah yang diikuti dengan Sesi Dialog di antara Ahli-Ahli MMN dan pihak Kementerian Kesihatan itu diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan terbuka bagi berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang sudah setentunya akan memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.
Selesai Sesi Muzakarah, rombongan Ahli-Ahli MMN dibawa melawat dan meninjau lebih dekat kemudahan-kemudahan dan projek pengubahsuaian wad-wad yang terdapat di Hospital RIPAS.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]