Home > Bahasa Melayu
Permesyuaratan asas penting dalam teori pemerintahan Islam
February 20th, 2017 | 08:47 AM | 1284 views
KAHERAH, REPUBLIK ARAB MESIR
KAHERAH, REPUBLIK ARAB MESIR, Sabtu, 18 Februari. - Negara Brunei Darussalam yang berdaulat dan merdeka serta akan kekal selamanya dengan Melayu Islam Berajanya itu adalah negara yang menjunjung dasar-dasar demokrasi dan demokratiknya itu, jelas Yang Berhormat ialah demokratik bersendikan ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah, sebagaimana jelas terkandung dalam Titah Permasyhuran Kemerdekaan.
Perkara tersebut ditegaskan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, ketika menyampaikan Ceramah Khas semasa Majlis Ramah Mesra beliau dengan pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir.
Majlis Ramah Mesra berlangsung di Hotel Intercontinental Citystars, Kaherah pada lewat petang hari ini.
Dalam ceramah khas tersebut, Yang Berhormat telah menghuraikan signifikan Asy-Syura, iaitu permesyuaratan sebagai asas terpenting dalam teori pemerintahan Islam. Umat Islam adalah di seru supaya mengurus hal ehwal
kehidupan mereka secara berunding, bermuzakarah dan bermesyuarat.
Perlembagaan Brunei, jelas Yang Berhormat, mensyaratkan penubuhan Majlis-Majlis Mesyuarat, iaitu Majlis Mesyuarat Adat Istiadat, Majlis Mesyuarat Diraja, Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri dan Majlis Mesyuarat Negara. Selain itu terdapat juga Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja dan Majlis Ugama Islam.
Menurut Yang Berhormat, Majlis-Majlis Mesyuarat berkenaan itu pada keseluruhannya adalah bersifat Isytisyari atau Konsultasi, yang akan menyembahkan nasihat berupa ketetapan-ketetapan yang diambil ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, yang mana tertakluk kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan sama ada memperkenankannya
atau sebaliknya.
Yang Berhormat menjelaskan bahawa perkara itu adalah tidak berlawanan dengan syarak kerana Asy-Syura yang dituntut ke atas umat Islam melaksanakannya, terutama dalam pemerintahan itu, ada memberikan kuasa pemutus kepada al-Imam, iaitu kepala negara dan ketua kerajaan, menurut mafhum firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam
Surah Ali ’Imran, ayat 159.
Hadir sama ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Haji Abd. Kahar bin Haji Hussin; Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, pegawai-pegawai Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Kaherah
dan seramai 227 pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir.
Tuan Yang Terutama Haji Abd. Kahar bin Haji Hussin dalam ucapan aluannya menyambut baik kehadiran Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama beramah mesra dan seterusnya menyampaikan ceramah khas kepada pelajar-pelajar.
Menurut TYT, ia setentunya akan menyuntik semangat dan motivasi pelajar-pelajar agar berusaha dengan lebih gigih lagi bagi mencapai kecemerlangan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]