TUNGKU LINK, Ahad, 19 Februari. - Acara Berbasikal Varsiti sempena Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) Ke-43 Tahun telah diadakan pada pagi ini.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyertai ekspedisi berbasikal tersebut yang bermula di Kompaun UTB, di sini.
Turut menyertai, Naib Canselor UBD, Datin Dr. Dayang Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz; Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Ekspedisi berbasikal tersebut juga melibatkan pegawai-pegawai kanan, pensyarah-pensyarah, kakitangan, mahasiswa serta mahasiswi universiti-universiti berkenaan dan orang awam.
Upacara pelepasan para peserta disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Profesor Madya Dr. Haji Azman bin Haji Ahmad.
Para peserta tersebut berbasikal sejauh 43 kilometer melalui Lebuhraya Tungku dan Lebuhraya Sultan Hassanal Bolkiah, menuju Bandar Seri Begawan bagi membuat perhentian di Bandarku Ceria, sebelum berkayuh pulang ke The Core, UBD.
Acara Berbasikal Varsiti itu adalah merupakan ekspedisi berbasikal amal bagi DANA Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim dan dianjurkan oleh UBD dengan kerjasama UNISSA dan UTB.
|