Home > Bahasa Melayu
Berkenan berangkat ke DPMM FC - S. League Football Fanfare
February 20th, 2017 | 08:49 AM | 1551 views
BANDAR SERI BEGAWAN
JERUDONG, Ahad, 19 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Kelab Bola Sepak DPMM berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Perlawanan DPMM FC - S. League Football Fanfare 2017 di Stadium Mini Jerudong.
Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Timbalan Pengerusi Brunei DPMM FC, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj.
Pasukan MIB Kids muncul juara perlawanan akhir DPMM FC - S. League Football Fanfare dan sekali gus menumpaskan pasukan PIP 'A' 4 - 3 (penalti) setelah kedua-dua pasukan terikat 1 - 1.
Sementara pasukan Academy Kilanas 'A' dan pasukan Dash Jr masing-masing menyandang tempat ketiga perlawanan tersebut.
Penjaring terbanyak dirangkul oleh Awang Haziq Syakib bin Jamuddin dari pasukan Savilla Jr, manakala pemain terbaik perlawanan itu dinobatkan kepada Awangku Md. Fadhli bin Pengiran Shamsul Adi dari pasukan PIP 'A'.
Sebanyak 12 buah pasukan menyertai perlawanan tersebut terdiri dari wakil sekolah-sekolah rendah, sekolah swasta, skim-skim bola sepak dan kampung.
Mereka terdiri dari pasukan PIP 'B', AAG Jr, ISB Pink Panther, MIB Kids, Academy Kilanas 'A', PMM Warriors, Dash Jr, Academy Kilanas 'B', PIP 'A', Savilla Jr, Great Zaidana Ft dan BTC Red Star.
Turut menyertai perlawanan itu ialah cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dari pasukan PMM Warriors dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak 'Abdul Haseeb bin Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim dari ISB Pink Panther.
Acara tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan Kelab Bola Sepak DPMM dan S. League sebelum bermulanya kempen Liga Singapura 2017 yang dijangka akan berlangsung pada 3 Mac ini menentang Home United FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Tahun ini, kedua-dua kelab berkenaan bersetuju untuk mengadakan pertandingan bola sepak persahabatan untuk
pemain-pemain di bawah 11 tahun yang bertujuan bagi memberi peluang kepada para pemain di peringkat muda untuk beraksi dalam suasana perlawanan walaupun aktiviti tersebut hanyalah perlawanan berbentuk persahabatan.
Perlawanan itu dibahagikan kepada empat kumpulan dan seterusnya bermain dalam liga pusingan manakala dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak memasuki peringkat akhir.
Selain dari perlawanan tersebut, para pemain dan orang ramai juga berpeluang bertemu dengan para pemain Kelab Bola Sepak DPMM Musim 2017 termasuklah jurulatih dan pengurus pasukan.
Pada masa yang sama, mereka juga berpeluang berinteraksi dan mengetahui lebih lanjut perkembangan pasukan tersebut sebelum bermulanya kempen liga musim ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]