Home > Bahasa Melayu
Semua peserta zahirkan semangat patriotisme
February 22nd, 2017 | 07:40 AM | 1301 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Februari. - Negara akan menyambut Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-33 pada Khamis ini, 26 Jamadilawal 1438 Hijrah bersamaan 23 Februari 2017 nanti dengan Acara Kemuncak
Perhimpunan Agung di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di sini.
Sehubungan itu, pagi tadi menyaksikan sebanyak 136 buah pasukan yang melibatkan 23,000 peserta termasuk Pasukan Pembaca Ikrar, Pasukan Pembawa Bendera-Bendera, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pasukan Beruniform, Pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Pasukan Orang-Orang Berkeperluan Khas, Pasukan Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan terlibat dalam Raptai
Penuh bagi Upacara Perbarisan Lalu Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 Tahun ini.
Manakala seramai 433 peserta terlibat dalam Persembahan Bicara Berirama yang diadakan buat julung kalinya di mana akan menyaksikan penglibatan penuntut-penuntut dari Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Haji Muhammad Jaafar Maun Kiulap, Sekolah St. George's dan pelatih-pelatih dari PKBN Pengambilan Ke-6.
Di samping itu, turut diadakan ialah latihan penuh acara Persembahan Tema 'Menjayakan Wawasan Negara' yang dipersembahkan oleh seramai 6,833 peserta mewakili pelbagai sektor dan agensi pembangunan negara termasuk belia yang mewakili sekolah-sekolah menengah, maktab-maktab dan institusi-institusi pengajian tinggi.
Suasana ibu kota itu telah diwarnai dengan penuh gilang-gemilang, sorak tawa segenap lapisan masyarakat dan penduduk di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama tetap memeriahkan lagi suasana taman dan bandar itu sendiri bagi sama-sama menzahirkan semangat patriotisme yang tinggi dalam menyanjungi,
mencintai dan mempertahankan negara dari sebarang anasir-anasir yang negatif.
Perkara tersebut jelas diakui oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof ketika ditemu bual oleh wakil media sejurus selesainya upacara latihan penuh, yang mana menurut Yang Berhormat, acara sambutan seumpamanya jelas memperlihatkan semangat patriotisme, perpaduan yang jitu, rakyat dan penduduk negara ini khususnya dan juga masyarakat serantau dunia amnya.
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 merupakan sambutan yang sangat penting bagi menzahirkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mendukung kepimpinan
bijaksana baginda, jelas Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai latihan yang diadakan terangnya, terdapat peningkatan dari segi persembahan para peserta yang ternyata semangat mereka ini terus meningkat dari sehari ke sehari dan beliau mempunyai keyakinan pada hari Khamis nanti mereka akan lebih penuh bersemangat dan bersedia dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam nanti.
Menjelaskan mengenai tema Hari Kebangsaan 'Menjayakan Wawasan Negara' pada tahun ini katanya, ia mempunyai makna yang besar kerana dapat memberikan penekanan secara holistik kepada semua lapisan rakyat, terutama golongan belia bagi sama-sama memainkan peranan dalam membantu merealisasikan Wawasan Negara 2035.
''Alhamdulillah peserta-peserta ini yang terdiri dari pelbagai peringkat daripada murid dan penuntut sekolah rendah sehingga ke peringkat institusi yang tertinggi, jabatan-jabatan kerajaan dan penduduk serta masyarakat berbilang bangsa dan kaum di Negara Brunei Darussalam dapat sama-sama menzahirkan bagaimana mereka ini terlibat dalam menjayakan Wawasan Negara 2035 itu,'' jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai pembangunan negara di sepanjang 33 tahun kemerdekaan, Yang Berhormat menjelaskan bahawa sesuatu yang ketara kitani dapat lihat di negara ini memang banyak dan jelas terbukti, antaranya terdapat bangunan-bangunan baharu dan mercu-mercu tanda negara khususnya dalam tahun ini sahaja kita dapat melihat Jambatan Penghubung ke Kampung Sungai Kebun sudah siap dan beberapa jambatan yang lain masih dalam pembinaan, begitu juga halnya dengan infrastruktur atau prasarana yang lain telah pun banyak terbina.
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini membawa tema 'Menjayakan Wawasan Negara' yang memfokuskan kepada pencapaian Wawasan Negara 2035 yang turut menekankan pentingnya setiap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam memainkan peranan masing-masing dan mengembleng usaha agar wawasan tersebut tercapai dengan jayanya.
Sempena sambutan tersebut juga akan diadakan beberapa acara-acara sampingan yang diharapkan akan dapat mendukung hasrat murni dan wawasan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Wawasan Negara 2035 untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir yang berasaskan kepada falsa fah Melayu Islam Beraja dan 'Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]