Home > Bahasa Melayu
Upacara Perhimpunan Agung Hari Kebangsaan Ke-33 penuh gilang gemilang
KDYMM Baginda Sultan bersama DYTM DPMM berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama peserta-peserta persembahan padang. | Foto : Mohamad Azmi Awang Damit / Haji Ariffin Mohd. Noor / Masri Osman / Hamzah Mohiddin / Pengiran Amirulnizam Pengiran Haji Mohd. Ali / Mohd. Sahrizal Haji Said / Azmah Haji Ahad / Dayangku Nur Hafilah Pengiran Osman
February 24th, 2017 | 07:52 AM | 2323 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Februari. - Negara Brunei Darussalam sekali lagi melakar sejarah dengan meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-33, walaupun hujan namun ia satu kerahmatan buat seluruh rakyat dan penduduk untuk merasa kemeriahan dan yang penting menaikkan rasa cintakan negara, raja, bangsa dan agama berlandaskan Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.
Semangat itu terus berkobar dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Taman Sir Muda Haji Omar ‘Ali Saifuddien bagi menyertai rakyat dan penduduk di negara ini ke Upacara Perhimpunan Agung sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral [B] Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei (PDB), Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd. Tawih bin Abdullah.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dilaungkan sejurus keberangkatan tiba dan setelah itu Kebawah DYMM dijunjung bagi memeriksa Pasukan Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota ABDB dan anggota Pasukan PDB.
Upacara Perhimpunan Agung sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 bermula dengan upacara perbarisan lalu di hadapan Pentas Diraja oleh lebih 23 ribu orang peserta yang mewakili 133 buah pasukan dengan didahului oleh Pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran besar yang diikuti oleh Pasukan Pembaca Ikrar, Pasukan Pembawa Bendera-Bendera Logo Hari Kebangsaan, ABDB, PDB, Pasukan Berpakaian Seragam, peserta Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Pasukan Orang-Orang Berkeperluan Khas, Pasukan Cemerlang, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, wakil daerah-daerah dan sektor swasta.
Sambutan terus diwarnai dengan persembahan menarik ‘Bicara Berirama’ dengan penuh semangat yang disertai seramai 433 orang peserta dari Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Haji Muhammad Jaafar Maun, Kiulap; Sekolah St. George’s dan pelatih-pelatih PKBN pengambilan ke-6.
Sementara itu, pasukan-pasukan dari institusi-institusi pengajian tinggi, maktab-maktab, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan, Pertubuhan Awam dan Pasukan Warga Asing di Negara Brunei meneruskan upacara perbarisan berkenaan dengan meriah.
Ikrar Hari Kebangsaan kemudian dilafazkan, yang dikepalai oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Muhammad Ihsan Sabri bin Haji Abd. Manap, sebagai tanda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya sebagai tanda bersatu padu dan menumpukan taat setia di bawah pimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Laungan takbir 'Allahu Akbar' dilaungkan sebanyak tiga kali oleh Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim terus menyemarakkan lagi sambutan yang penuh gilang-gemilang.
Rombongan pembaca ikrar tersebut juga disertai oleh para peserta berkeperluan khas yang menggunakan bahasa isyarat.
Persembahan bertemakan ‘Menjayakan Wawasan Negara’ melibatkan seramai 6,833 peserta yang mewakili pelbagai sektor dan agensi pembangunan negara termasuk belia-belia yang mewakili sekolah-sekolah menengah, maktab-maktab dan institusi-institusi pengajian tinggi dengan megah mempamerkan persembahan tema tahun ini iaitu dengan membawa segenap lapisan masyarakat untuk menghayati peranan mereka dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
Sebelum berangkat meninggalkan upacara, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima junjung ziarah daripada para peserta yang menjayakan sambutan tahun ini.
Tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 ialah ‘Menjayakan Wawasan Negara’ merupakan gagasan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Tema berkenaan juga menyifatkan pandangan baginda yang jauh ke hadapan memastikan negara ini dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang memiliki rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi dan ekonomi yang dinamik serta berdaya tahan.
Bagi mencapai wawasan tersebut, tiga nilai utama perlu diterapkan iaitu kesetiaan kepada raja dan negara, keyakinan terhadap nilai-nilai Islam, keharmonian sosial dan amalan tradisi.
Ini sekaligus mengingatkan agar setiap rakyat dan penduduk serta segenap sektor dalam pembangunan negara mempunyai peranan dalam memastikan Wawasan Brunei 2035 itu tercapai dan berjaya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]