Home > Bahasa Melayu
RPN peruntukkan 27,183 buah rumah
YANG Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah.| Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Azmah Haji Ahad
March 15th, 2017 | 06:41 AM | 1217 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Mac.- Rancangan Perumahan Negara (RPN) telah memperuntukkan 27,183 buah rumah dan 1,976 lot tanah bagi para penerima yang berkelayakan sehingga September 2016.
Pada pertengahan tahun ini dijangka sebanyak 1,300 buah rumah lagi akan diperuntukkan, di mana lebih dari 70 peratus (exact percentage is 79 percent) daripada pemohon yang telah diperkenankan mengikuti Skim Perumahan Negara (SPN) akan memiliki rumah.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah menggariskan perkara itu pada mukadimahnya pada hari ketujuh dari Musim Permesyuaratan Ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, di sini,
Yang Berhormat menjelaskan, dalam penyediaan SPN, teras utama kerajaan adalah untuk menjamin kedayatahanan skim tersebut bagi jangka masa panjang.
Pada masa ini katanya, cabaran utama kerajaan juga dalam menyediakan unit-unit rumah pada skala yang besar adalah penyediaan sumber kewangan bagi membiayai kos perbelanjaan projek-projek berkenaan yang amat tinggi.
Yang Berhormat seterusnya menambah, tambahan pula dengan kadar subsidi yang tinggi dengan terma bayaran balik yang panjang yang dinikmati para penerima, bayaran balik yang diterima kerajaan daripada para peserta Skim RPN adalah sangat rendah lebih-lebih lagi dengan masalah tunggakan bayaran yang kian bertambah.
Cara penyediaan rumah-rumah oleh kerajaan seumpama ini jelasnya, akan sukar berdaya tahan pada jangka masa panjang.
Justeru itu, jelas Yang Berhormat lagi, ke arah cuba mengatasi isu kesinambungan tersebut, Kementerian Pembangunan melalui 'Housing Focus Group' katanya telah ditubuhkan pada tahun lepas, yang mana sedang giat meneliti pendekatan-pendekatan baharu dengan merebiu secara menyeluruh dasar subsidi kerajaaan, syarat-syarat kelayakan pemohon-pemohon, kemampuan pemohon-pemohon untuk membayar balik dan jenis-jenis perumahan yang akan dibina dengan mengambilkira juga akan isu ketersediaan tanah negara.
Menurut Yang Berhormat, cadangan jenis skim-skim perumahan, kaedah perlaksanaan dan pembiayaan program perumahan juga sedang diteliti pada masa ini. 'Housing Focus Group' antara lain telah pun membincangkan model pembiayaan (financing models) bagi pembinaan juga pengurusan kawasan perumahan, termasuk kaedah PPP yang mungkin lebih sesuai bagi skim perumahan negara berdaya tahan.
Seterusnya, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk dimajukan melalui kaedah PPP bagi perumahan am berserta dengan penyediaan kawasan komersial, iaitu Rancangan RPN Lugu 2, RPN Meragang, RPN Serasa, RPN Panaga, RPN Lorong Tengah dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Katok.
''Berbalik semula kepada isu tunggakan yang kaola sebutkan tadi, ini cuma sebahagian daripada isu yang kerajaan hadapi dalam pengendalian skim RPN yang telah siap dan diperuntukkan kepada para penerima setakat ini.
Selain itu, berbagai jenis pelanggaran syarat dan peraturan penerimaan rumah-rumah RPN telah berlaku, antaranya aktiviti-aktiviti tanpa kebenaran seperti menambah rumah, membina bangunan berasingan yang berbentuk kekal, menyewakan dan menjual rumah RPN kepada pihak ketiga, menjalankan perniagaan dan memelihara serta menternak binatang di kawasan rumah,'' ujarnya.
Peraturan-peraturan dan syarat-syarat yang dikenakan itu tambahnya, adalah bagi tujuan menjaga kepentingan individu, masyarakat dan negara dalam berbagai aspek termasuk aspek-aspek keselamatan, kebersihan, kesihatan, keharmonian masyarakat dan sebagainya.
Dari sudut penguatkuasaan, Kementerian Pembangunan bersama agensi-agensi kerajaan lain yang berkepentingan akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan untuk menangani pelanggaran syarat-syarat dan peraturan di dalam kawasan RPN yang dimaksudkan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]