BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima mengadap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.
Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima satu Warkah Persilaan Ke Istiadat Pertabalan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV Malaysia, Sultan Muhammad V.
Menyertai bersama Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Malaysia pada Majlis Mengadap itu ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Yang Berbahagia Dato’ Seri Syed Danial bin Syed Ahmad dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman.
Turut hadir di Majlis Mengadap tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.
|