Home > Bahasa Melayu
Gagal Menfailkan Penyata Cukai Boleh Diambil Tindakan Undang-Undang
TAKLIMAT Bengkel Cukai Pendapatan Korporat disampaikan oleh Pegawai Kewangan Kanan, Dayangku Masleda binti Pengiran Daud kepada peserta daripada beberapa buah syarikat yang berdaftar. Oleh : Saerah Haji Abd Ghani / Foto : Mohd Zul Izzi Haji Duraman
April 18th, 2017 | 09:38 AM | 739 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Setiap syarikat dikehendaki memfailkan penyata cukai pendapatan setiap tahun taksiran sehingga 30 Jun sepertimana menurut bab 52(1), Akta Cukai Pendapatan, Bab 35.
Kegagalan untuk memfailkan penyata cukai sehingga tempoh yang ditetapkan merupakan satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Bab 78, Akta Cukai Pendapatan.
Dalam usaha untuk menggalakkan pematuhan cukai terutamanya dalam memfailkan penyata cukai pendapatan korporat pada masa yang ditetapkan, Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan telah mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Cukai Pendapatan Korporat hari ini.
Taklimat bengkel disampaikan oleh Pegawai Kewangan Kanan, Dayangku Masleda binti Pengiran Daud kepada beberapa buah syarikat berdaftar yang dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi dan petang berlangsung di Bilik Latihan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan, Jalan Menteri Besar, di sini.
Salah satu fungsi Bahagian Hasil di Kementerian Kewangan adalah untuk mentadbir cukai pendapatan korporat bagi syarikat-syarikat yang berdaftar dibawah Akta Syarikat, Penggal 39.
Matlamat utama bengkel adalah untuk menyediakan garis panduan bagi syarikat baru-baru berdaftar mengenai tanggungjawab dan kewajipan cukai mereka dan membantu mereka untuk mengenal ciri-ciri dan fungsi ‘System for Tax Administration and Revenue Services’ (STARS), satu sistem cukai secara online yang diperkenalkan sejak 2012 yang boleh diakses 24/7 melalui https://www.stars.gov.bn.
Perkhidmatan STARS ini menyediakan pemfailan borang penyata cukai pendapatan dan juga pembayaran Cukai Pendapatan Korporat secara online.
Adapun objektif bengkel adalah untuk menggalakkan pematuhan, terutamanya memfailkan penyata cukai pendapatan tahunan di kalangan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat serta meningkatkan pemahaman terhadap peruntukan undang-undang dalam Akta Cukai Pendapatan.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan pembayar cukai dengan kemudahan perkhidmatan dalam menjalankan urusan percukaian mereka melalui STARS dengan tujuan untuk menggalakkan pematuhan secara sukarela dan mengurangkan kos pematuhan selain sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan persekitaran perniagaan di Brunei Darussalam.
Maklumat lanjut mengenai STARS boleh diperolehi melalui laman web https://www.stars.gov.bn dan https://www.mof.gov.bn atau dengan menghubungi talian +673 2383933 / +673 2380651 atau melalui e-mel [email protected].
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]