Home > Bahasa Melayu
AMBD Teruskan Jerayawara 'Generasi Celik Kewangan'
AHLI Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu selaku tetamu kehormat meluangkan masa menyaksikan pameran sempena Jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2017 PELAJAR-PELAJAR dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar mendengar penerangan daripada wakil TAP yang juga menyertai jerayawara ini.PARA pelajar Sekolah Persediaan Temburong menyertai beberapa aktiviti bertemakan pengurusan kewangan. PENGETUA SMSH, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah.DAYANG Aina Zahirah Batrisya binti Agus Zamri, pelajar Tahun 8 Al-Fusaha, Sekolah Arab Temburong menyeru para remaja supaya tidak berbelanja mengikut kemahuan tetapi hendaklah mengikut keperluan. Berita & Foto : Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain
April 19th, 2017 | 09:15 AM | 1478 views
TEMBURONG
Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Tabung Amanah Pekerja (TAP), Jabatan Daerah Temburong serta agensi-agensi berkaitan termasuk institusi kewangan telah mengadakan Jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, di sini.
Dengan tema 'Generasi Celik Kewangan', jerayawara yang merupakan kelima seumpamanya diadakan ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menabung, berdikari dari segi kewangan atau 'financially independent' dan meningkatkan kesedaran mengenai cara-cara menangani isu-isu kewangan terutama di dalam kalangan para pelajar.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu. Turut hadir ialah Pegawai-Pegawai Kanan AMBD, Kementerian Pendidikan, KHEU dan Jabatan Daerah Temburong.
Jerayawara turut dihadiri kira-kira 100 orang pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar (SMSH) dan Sekolah Arab Temburong yang menyertai beberapa aktiviti interaktif kewangan bertemakan pengurusan kewangan dan pengenalan mata wang anjuran AMBD, TAP, BIBD dan Insurans Islam TAIB.
Pengetua SMSH, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia semasa ditemui penuh berharap setelah para pelajar meninggalkan alam persekolahan dan telah mempunyai pekerjaan atau sumber pendapatan, para pelajar akan mempunyai kesedaran untuk menabung demi masa depan mereka.
''Jika dilihat dari segi kehidupan para pelajar pada masa ini boleh dikatakan mereka hidup senang jika dibandingkan dengan kehidupan ibu-bapa mereka serta generasi terdahulu, apatah lagi hidup mereka hari ini di kelilingi dengan kecanggihan teknologi, jadi mereka belum pernah mengenal erti susah payah dalam mencari wang yang dihadapi oleh ibu-bapa mereka bagi menampung kehidupan seharian. Jadi saya amat berharap dengan adanya jerayawara ini insyaa Allah akan dapat membuka mata para pelajar untuk sedar betapa berharganya mereka menabung untuk masa depan mereka jua,'' ujarnya.
Sementara itu bagi Dayang Aina Zahirah Batrisya binti Agus Zamri, Pelajar Tahun 8 Al-Fusaha, Sekolah Arab Temburong berpendapat amalan menabung sememangnya sangat penting dalam kehidupan dan perlu diterapkan oleh para ibu bapa kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Penganjuran jerayawara ini juga adalah selaras dengan usaha AMBD untuk membangunkan kesedaran dan celik kewangan serta Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035 ke arah mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan serta rakyat dan penduduk yang berkemahiran tinggi.
Acara-acara seterusnya yang akan diadakan bersempena dengan Hari Menabung Kebangsaan 2017 adalah Financial Fun Fair di Jerudong Park Colonnade pada hari Ahad, 30 April 2017, dari jam 2 petang hingga 10 malam. Acara ini akan menampilkan pelbagai program keluarga dan aktiviti interaktif yang bertemakan pengurusan kewangan secara berhemat dan Financial Showcase pada hari Sabtu, 20 Mei 2017 bermula pada jam 2.00 petang hingga 8.00 malam bertempat di Airport Mall.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]