Home > Bahasa Melayu
'Iman Teguh Akidah Kukuh', tema Sambutan Isra' Mi'raj
PEGAWAI Ugama Kanan Bahagian Kemajuan Syiar Islam,,Dayang Hajah Mahyana binti Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri setia Dr Ustaz Haji Awang Yahya selaku Timbalan Setiausaha Bersama majlis tersebut. Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah
April 24th, 2017 | 00:46 AM | 1358 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, masyarakat Islam di negara ini khasnya dan penduduk Islam dunia amnya akan sama-sama memperingati peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Sehubungan dengan itu, Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi yang akan diadakan pada hari Isnin, 27 Rejab 1438H bersamaan 24 April 2017M, jam 9.00 pagi bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam.
Antara atur cara majlis ialah Ceramah Khas dengan tajuk 'Iman Teguh Akidah Kukuh'.
Hadir bagi menyaksikan raptai tersebut ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Juga hadir, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1438 Hijrah serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1438 Hijrah dan jawatankuasa kerja yang lain.
Sementara itu, Pegawai Ugama Kanan Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Dayang Hajah Mahyana binti Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Yahya selaku Timbalan Setiausaha Bersama majlis tersebut ketika ditemui menjelaskan, antara pengisian Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara tahun ini ialah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan kesimpulan maknanya diikuti Ceramah Khas berkaitan dengan tema dan peristiwa Isra' Mi'raj di samping acara sampingan iaitu jualan hasil usahawan tempatan.
Menurutnya, tema Sambutan Isra' dan Mi'raj tahun ini ialah 'Iman Teguh Akidah Kukuh' yang mana ia memberi maksud bahawa iman serta akidah ini adalah hidayah dan hidayah ini adalah suatu milik Allah Subhanahu Wata'ala.
Jelasnya, hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahaja yang boleh memberi hidayah dan kita manusia tidak memiliki hidayah itu.
''Sebagai kurniaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala wajar dan wajib bagi kita menjaganya supaya ia tidak hilang begitu saja,'' ujarnya.
Oleh sebab itu tambahnya, sebagai orang yang dikurniakan iman dan hidayah, kita patut berasa beruntung dan bersyukur manakala orang yang diberi hidayah tetapi mengabaikannya adalah suatu kerugian besar baginya kerana ia bukan saja melibatkan kehidupannya di dunia ini tetapi juga akhirat yang kekal.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]