Home > Bahasa Melayu
Perkhidmatan Radio Masih Relevan
TETAMU Kehormat Timbalan Menteri (Keselamatan dan Media), di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar menyampaikan ucapan dan seterusnya melancarkan Majlis Sambutan Jubli Intan Radio Brunei 60 Tahun. Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Othman
May 3rd, 2017 | 09:26 AM | 602 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Peranan perkhidmatan Radio masih relevan di Negara Brunei Darussalam, walaupun terdapatnya cabaran perkhidmatan penyiaran yang lain; dan juga persaingan daripada media baharu atau new media.
Perkhidmatan radio perlu memperkasakan diri dengan teknologi dan perisian yang inovatif dan engaging agar dapat mencakup ke semua lapisan masyarakat supaya mereka dapat menghargai dan tidak melupakan perkhidmatan yang amat berjasa ini kerana perkhidmatan Radio Brunei adalah merupakan ‘gema’ ataupun suara Brunei.
Timbalan Menteri (Keselamatan dan Media), di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar menjelaskan demikian semasa merasmikan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Radio Brunei berlangsung di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei (RTB) di sini.
“Setiap apa yang digemakan atau dihidangkan oleh Radio Brunei menceritakan gambaran sebenar, yang tepat dan betul mengenai negara kitani, Negara Brunei Darussalam, dan juga mengetengahkan masyarakatnya melalui berita, rencana, muzik, mahupun kapsul mengenai budaya, nilai sosialnya dan cara hidupnya”, jelas Dato Paduka Awang Haji Hamdan.
Dengan itu jelas Dato Paduka, selaras dengan perubahan lanskap penyiaran, adalah mustahak bagi Jabatan Radio Brunei khususnya untuk secara berterusan mereview strategi deliverables perkhidmatan dan perisian radio yang dapat menghasilkan impak yang bermanfaat kepada negara dan masyarakat.
Radio Brunei tambahnya juga perlu sentiasa menilai amalan-amalan terbaik untuk menjadi Pusat Kecemerlangan atau Centre of Excellence ke arah mempertingkatkan lagi tahap kualiti siaran dan perisiannya.
Selain itu jelasnya, Radio juga harus sealiran serta peka dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kerana penggunaan teknologi yang mendokong keberadaan radio di kalangan masyarakat khususnya generasi muda perlu terus digalakkan terutama sekali dalam era internet.
Ke arah semua itu ujar Dato Paduka, usaha untuk memasyarakatkan radio secara bersemuka mahupun melalui media baharu adalah satu langkah positif ke arah mengeratkan lagi kesalinghubungan masyarakat dengan media kerajaan.
Dato Paduka seterusnya menjelaskan, Radio Brunei juga perlu memainkan peranan strategik dalam pembangunan negara mencapai Wawasan Brunei 2035 bersandarkan falsafah negara.
“Arus penyiaran semakin deras, mencabar dan penuh dengan pelbagai ekspektasi. Kita seharusnya menjadi penyiar yang berwibawa dan mempunyai semangat yang tinggi untuk memenuhi hasrat dan ekspektasi pelbagai lapisan masyarakat dan yang berbagai umur. Memenuhi cabaran ini adalah menjadi suatu keutamaan dan kepentingan di kalangan warga penyiaran untuk sentiasa mempunyai sikap berdaya maju dalam terus berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Bijak merangka, responsive, mempunyai aspirasi ke arah memberkesankan lagi mutu perkhidmatan di bidang penyiaran adalah syarat utama”, terang Dato Paduka.
Warga penyiaran jelasnya adalah juga semestinya berfikiran secara proaktif, di samping bersikap adaptif dan responsif terhadap perubahan persekitaran serta mampu berhadapan dengan realiti penyiaran.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]