Home > Bahasa Melayu
Sekolah Saint John Johan Pertandingan Koir
TETAMU kehormat bergambar ramai bersama Johan pertandingan Big 6, Sekolah Saint John.
May 5th, 2017 | 08:54 AM | 720 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kumpulan Koir Sekolah Saint John dengan membawakan Lagu 'Oh Padian' muncul johan Peringkat Akhir Pertandingan Koir Sekolah-Sekolah Rendah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33, Tahun 2017 yang berlangsung di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei, di sini.
Naib johan disandang oleh Kumpulan Koir Sekolah Seri Mulia Sarjana dengan Lagu 'Cabuk-Cabuk' sementara Kumpulan Koir Sekolah Saint George dengan Lagu 'Manja-Manja Piabong' menduduki tempat ketiga.
Manakala johan bagi Peringkat Akhir Pertandingan Koir Menjejak Juara Big '6' juga sempena sambutan berkenaan pula diraih oleh Kumpulan Koir Sekolah Saint John dengan lagu 'Tekad Kemerdekaan', diikuti oleh Kumpulan Koir Sekolah Seri Mulia Sarjana sebagai naib johan dengan Lagu 'Berkibarlah Bendera' dan Kumpulan Koir Sekolah Menengah Berakas dengan Lagu 'Sedia Berbakti' meraih tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian piala dan hadiah kepada pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Awang Haji Sabtu.
Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Azis bin Haji Nayan selaku Pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, gabungan kedua pertandingan tersebut dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Akli.
Jelasnya, Pertandingan Koir Sekolah Rendah mengetengahkan Lagu Rakyat atau Kanak-Kanak Brunei yang dipersembahkan dalam bentuk koir.
Di samping itu katanya, Pertandingan Menjejak Juara 'Big' 6 bagi Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab pula mendendangkan Lagu-Lagu Patriotik Brunei Secara Akapella.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]