Home > Bahasa Melayu
Wawasan 2035 Penting Sedia Harungi Cabaran Masa Hadapan
Salah seorang pegawai Jabatan Perdana Menteri semasa menyampaikan taklimat
May 18th, 2017 | 11:17 AM | 4014 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Menjelang Wawasan 2035, masyarakat di Negara Brunei Darussalam diharap akan lebih maju dan berkemahiran dalam pelbagai bidang serta taraf kehidupan yang bertambah baik dan ekonomi yang kukuh.
Perkara tersebut antara yang ditekankan dalam Taklimat Sesi Pembarigaan Wawasan Brunei 2035 yang disampaikan oleh pegawai-pegawai Sekretariat Tetap Wawasan Brunei. Taklimat diadakan di Kompleks Sukan Sungai Kebun, di sini.
Taklimat antara lain menerangkan akan kepentingan Wawasan 2035 agar dapat bersedia terutama dalam mengharungi cabaran masa hadapan demi menikmati masa depan yang cerah dan harmoni.
Tiga matlamat wawasan berkenaan iaitu rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kualiti kehidupan rakyat dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Beberapa inisiatif dan perkembangan terkini ke arah menuju wawasan negara itu termasuk dalam bidang pendidikan, sumber tenaga manusia, sektor kesihatan, infrastruktur dan peningkatan keberkesanan dan produktiviti sektor awam.
Pegawai Pentadbir Tingkat I, Awang Aziman bin Haji Awang Nasir dan Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Perdana Menteri, Dayang Atirah Fakriah binti Haji Md. Yussof juga menyentuh mengenai kadar pengangguran di negara ini pada tahun 2014 iaitu sebanyak 6.9 peratus termasuk 57.9 peratus dari kalangan umur 20 - 29 tahun.
Berdasarkan statistik sumber Jabatan Pembangunan Masyarakat, dari tahun 2000 hingga Mei 2016 pula menunjukkan 64 peratus keluarga yang menerima bantuan.
Taklimat yang dihadiri para peserta Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam ini juga menekankan, bahawa seluruh rakyat dan penduduk di negara ini sama-sama bertanggungjawab dalam menjayakan dan merealisasikan Wawasan 2035 itu nanti.
Para peserta juga berkesempatan menyuarakan pandangan dan soalan masing-masing dalam sesi soal jawab pada akhir taklimat tersebut.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]