Home > Bahasa Melayu
Kursus ke China dalami Hybrid Rice
Rombongan delegasi peserta kursus dari Negara Brunei Darussalam bersama dengan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Pemangku Ketua Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Sumber-Sumber Utama, wakil-wakil dari Kedutaan Besar China ke Negara Brunei Darussalam dalam gambar beramai
May 18th, 2017 | 11:31 AM | 1515 views
BERAKAS
Seramai enam pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan tiga peladang padi belia berlepas hari ini untuk menghadiri Kursus 2017 Training Course on Hybrid Rice Comprehensive Technology for Developing Countries selama tiga bulan.
Antara yang turut hadir untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi tersebut adalah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Hajah Aidah binti Haji Mohd. Hanifah; Pemangku Ketua Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Sumber-Sumber Utama, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Khairunnisa binti Haji Omar Ali; wakil-wakil dari Kedutaan Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Zhu Rong dan Tuan Zhang Jun serta Pegawai-pegawai Latihan dari Pusat Pembangunan Belia, Awang Haji Saiful Rizal bin Haji Ariffin dan Haji Ruslan bin Haji Kurus.
Menurut Siaran Akhbar Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, kursus berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan, Republik Rakyat China itu adalah bertujuan untuk melatih peserta-peserta kursus dalam pembiak bakaan padi hibrid, pengeluaran benih serta pengurusan padi hibrid secara komprehensif bagi membolehkan peserta-peserta menggunakan teknologi padi hibrid tersebut untuk meningkatkan produktiviti padi dan sekuriti makanan di negara masing-masing.
Ia adalah sangat bertepatan dengan matlamat strategik Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, iaitu meningkatkan pengeluaran serta produktiviti sektor pertanian melalui penggunaan teknologi dan teknik moden secara meluas.
Penghantaran para pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta para peladang padi belia untuk mengikuti kursus berkenaan bukan sahaja amat bersesuaian bagi peningkatan kapasiti sumber tenaga manusia dalam bidang industri padi, bahkan mendukung usaha-usaha bagi mencapai sasaran pelan strategik industri padi secara langsung, iaitu untuk meningkatkan pengeluaran serta produktiviti padi menjadi 12 metrik tan sehektar semusim pada tahun 2020.
Setelah tamat menjalani kursus tersebut, para peserta akan dilibatkan dalam projek kajian kesesuaian varieti hibrid yang sedang dilaksanakan pada masa ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]