Home > Bahasa Melayu
Penemuan Bukti Terkini Boleh Merubah Fakta Sejarah
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika menyaksikan Pameran Kraf
May 19th, 2017 | 11:23 AM | 558 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sejarah memainkan peranan penting dalam menghuraikan kebenaran, kesahihan dan ketulusan fakta terutama sekali fakta pembentukan sesebuah bangsa dan negara.
Ia merupakan satu medan penyelidikan yang menggunakan sesuatu penceritaan dalam memastikan urutan peristiwa sahih, benar dan diperakui dengan bukti-bukti sama ada dalam bentuk arkeologi, artifak, penulisan, cara dan amalan hidup serta tradisi lisan.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menekankan perkara tersebut dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2017 yang berlangsung di Bangunan Galeri Seni, Dermaga Diraja, di ibu negara.
Menurut Yang Berhormat, penemuan bukti-bukti terkini boleh merubah fakta sejarah, apatah lagi jika penemuan itu datangnya dari pelbagai sumber yang kadangkala mempertikaikan kesahihan fakta sejarah yang ada.
"Alhamdulillah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Memorandum Menteri Besar Brunei pada 26 Januari 1982, telah memperkenankan bagi penubuhan Pusat Sejarah Brunei, yang menjadi pusat sumber persejarahan negara yang autoritatif," ujar Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menjelaskan, Jabatan Muzium-Muzium dan Jabatan Pusat Sejarah Brunei berperanan dalam menjadi pelengkap kepada sumber pensejarahan Negara Brunei Darussalam yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja.
Dalam pada itu, Yang Berhormat turut merakamkan setinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada Awang Daud bin Haji Bujang dan Syarikat Daikyo Sendirian Berhad yang telah menyerahkan sebuah dandang wap lama yang telah ditemui di Daerah Belait pada hujung tahun lepas kepada pihak Jabatan Muzium-Muzium.
Menurut Yang Berhormat, dandang wap lama ini atau dalam bahasa Inggerisnya ‘steam generator boiler’ mempunyai nilai sejarah yang tinggi terutama dalam sejarah penggunaan teknologi dandang wap di negara ini.
"Pada akhir Kurun Ke-19 dan awal Kurun Ke-20, dandang wap dinyatakan sebagai mesin perindustrian yang paling signifikan pernah dicipta oleh manusia ketika itu.
Mengenali artifak sejarah bererti mengenali budaya dan sejarah serta ketamadunan generasi sebelum kitani," kata Yang Berhormat.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2017. Pada majlis itu, Yang Berhormat juga melancarkan buku terbitan Jabatan Muzium-Muzium dan menyampaikan sijil serta cenderamata kepada para pesara. Tetamu kehormat kemudian menyaksikan Pameran KRAF yang memfokuskan nilai seni dan budaya mengikut konteks globalisasi.
Lebih 30 artis mengambil bahagian dalam pameran KRAF dan lebih 24 bahan koleksi Jabatan Muzium-Muzium berkaitan dengan karya artis-artis tempatan turut dipamerkan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]