Home > Bahasa Melayu
Berangkat Menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat Pertama Di Masjid Pehin Khatib Abdullah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menanadangani plak Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis yang baharu.
May 20th, 2017 | 11:42 AM | 1550 views
SENGKURONG
Syukur atas terbinanya sebuah lagi masjid baharu, iaitu Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis yang menjadi mercu perkembangan syiar Islam khususnya buat penduduk di kawasan itu dan sekitarnya untuk beribadah serta menyelenggarakan aktiviti yang berkebajikan nanti.
Pada Jumaat yang berkat ini juga turut menjadi ristaan kenangan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat yang pertama bersama para jemaah di sini.
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah DYMM, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM seterusnya dijunjung bagi menandatangani plak dan kemudiannya diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Khutbah Jumaat Pertama di masjid itu dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang antara lain menjelaskan kelebihan orang yang membina Rumah Allah (masjid) mempunyai status tersendiri serta diberi ganjaran yang hebat.
Rumah dalam Syurga akan menjadi habuan bagi mereka yang membina masjid tidak kira saiznya besar atau kecil masjid itu.
Semasa khatib membacakan khutbah di atas mimbar itu seterusnya menekankan bahawa niat membina masjid itu adalah kerana Allah Subhanahu Wata'ala bererti semata-mata untuk agama, menjulang syiar dan taat kepada-Nya.
Tambahnya, kita di negara ini sekarang berpeluang untuk terlibat dalam membina masjid melalui adanya Tabung Dana bagi membina masjid yang dilancarkan pada 4 Jun 2015 lalu atas titah dan wawasan Kebawah DYMM untuk sama-sama bertanam saham di akhirat.
Sumbangan itu bukanlah mandatori, tetapi bersifat seangkat-angkat hati dan jumlah dana setakat Disember 2016 berjaya mengumpul hampir BND4 juta dan belum termasuk sumbangan daripada sekitar 60,000 para pegawai dan kakitangan dalam Perkhidmatan Awam. Hanya yang baru terlibat menyumbang itu dianggarkan 15 peratus sahaja atau kurang lagi daripada itu. Dana ini sekarang sudah mula difahami dan diminati serta sumbangan bagi dana tersebut adalah semakin mantap diterima melalui pemotongan gaji.
Yang Berhormat Pehin dalam khutbahnya juga menyeru supaya umat Islam sama-sama menyumbang untuk masjid dan yang penting ialah keikhlasan walaupun sedikit sumbangan sedekah itu.
Sejurus selesai khutbah Jumaat dibacakan, Sembahyang Fardu Jumaat kemudiannya diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Sebelum berangkat balik, Kebawah DYMM dan paduka-paduka anakanda baginda berkenan menerima junjung ziarah daripada para jemaah yang hadir.
Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis merupakan wakaf daripada sebuah keluarga sebagai tanda kenangan kepada Kampung Kulapis dan ia dibina di atas sebidang tanah kerajaan seluas lima ekar.
Pembinaan masjid itu bermula pada 14 September 2015 diikuti dengan Majlis Mendirikan Tiang Seri Masjid tersebut pada 13 November 2015. Manakala Majlis Serah Terima bangunan telah diadakan pada 15 Mei 2017 dan pembinaannya siap sepenuhnya pada 1 Mei 2017.
Pembukaan masjid itu diharap akan dapat memberi keselesaan kepada para penduduk kampung itu serta jemaah yang menunaikan ibadah sembahyang serta dapat menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan bagi meningkatkan serta mengembangkan syiar Islam di Kampung Kulapis khususnya dan di Negara Brunei Darussalam amnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]