Home > Bahasa Melayu
27 Keluarga Menerima Bantuan Dari Yayasan
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan semasa menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan kepada salah seorang penerima
May 25th, 2017 | 11:29 AM | 1694 views
TEMBURONG
Sebanyak 27 buah keluarga di Mukim Amo dan sebahagian Mukim Bangar, Daerah Temburong, yang memerlukan bantuan dan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), dalam lawatan kerja dan penyampaian sumbangan di daerah ini, hari ini.
Mengetuai rombongan menyampaikan sumbangan ke rumah-rumah penerima berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Turut serta dalam rombongan ini ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, para pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.
Sumbangan-sumbangan bantuan yang dihulurkan adalah berbentuk kewangan, barang keperluan asasi dan makanan, peralatan keperluan pesakit khusus untuk sebahagian warga emas dan juga bantuan membaik pulih sebuah rumah warga emas yang berjumlah BND41,732.00 keseluruhannya.
Lawatan kerja dan penyampaian sumbangan berkenaan merupakan projek amal pihak Yayasan sempena bulan Ramadan.
Keluarga-keluarga yang menerima sumbangan berkenaan dikenal pasti hasil daripada kaji selidik yang telah dijalankan sebelum ini oleh pihak Yayasan dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Projek amal menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan, dan ini bertujuan bagi membantu keluarga-keluarga berkenaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna.
Bantuan ini juga dihasratkan dalam menyediakan keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Selain bantuan asasi, sebahagian penerima yang mengalami kesukaran berjalan turut menerima sumbangan tongkat dan kerusi roda serta tilam khas.
Penubuhan Yayasan adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]