Home > Bahasa Melayu
Bertadarus Kuatkan Ukhuwah Persaudaraan Umat Islam
Bagi menyemarakkan bulan Ramadhan yang mulia, jemaah-jemaah lelaki di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong mengadakan majlis bertadarus selepas menunaikan solat sunat Tarawih
May 30th, 2017 | 08:22 AM | 699 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Al-Quran adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada bulan Ramadan.
Dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, bulan Ramadan adalah kesempatan yang paling berharga untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, sama ada secara bertadarus ataupun berseorangan, lebih-lebih lagi sehingga Khatam bacaan 30 Juz Al-Quran.
Pengiran Muhammad Nasiruddin bin Pengiran Haji Abu Bakar ketika ditemui di Masjid Kampung Pintu Malim berkata, pada bulan suci Ramadan, segala amal ibadah yang dikerjakan manusia akan dilipatgandakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala termasuk membaca Al-Quran.
Menurut beliau, tidak hanya membaca, bahkan hanya mendengar dan melihatnya pun kita akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
“Bagi yang kurang mahir membaca Al-Quran, janganlah berasa rendah diri dengan kekurangan tersebut. Belajarlah dengan tekun dan perbaiki lagi bacaan tersebut sama ada dengan berguru ataupun dengan bertadarus kerana itulah tujuan bertadarus. Dengan bertadarus, kita dapat memperkuat ukhuwah persaudaraan kita sebagai umat Islam,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Dayang Mumtazah binti Haji Rosman, Tadarus Al-Quran di masjid, surau dan balai ibadat adalah salah satu syiar untuk memakmurkan masjid, surau dan balai ibadat di negara ini dalam kalangan masyarakat Islam tanpa mengira peringkat umur, sama-sama memperdengarkan bacaan Al-Quran sekali gus mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menyemarakkan bulan yang penuh berkat ini dengan amal ibadat semata-mata bagi meraih keampunan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Meskipun begitu jelasnya, bertadarus ini tidak semestinya tertumpu di masjid, bahkan boleh dilakukan di rumah atau di mana-mana sahaja tempat yang bersesuaian.
“Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam juga menggalakkan umat Islam berhimpun untuk membaca Al-Quran dan bertadarus.
“Baginda menjelaskan kepada mereka kelebihannya di mana antaranya ialah diturunkan ‘sakinah’ dan ‘tama'ninah’ serta ketenangan, rahmat dan pelbagai lagi kelebihan kepada yang cintakan Al-Quran,” terangnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]