Home > Bahasa Melayu
Berpuasa Bukan Alasan Untuk Kurang Produktif
May 31st, 2017 | 07:02 AM | 318 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan. Kedatangan bulan ini seharusnya meningkatkan semangat dan iltizam umat Islam untuk merebut segala keberkatan tersebut.
Justeru itu, kehadiran bulan mulia ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadi malas bekerja.
Sugeng, seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pam atendan ketika ditemui berkata, tidak menjadi halangan buat dirinya bekerja sewaktu bulan Ramadan.
''Sesetengah individu melihat puasa sebagai kekangan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti atas alasan tiada tenaga kerana lapar dahaga. Persepsi ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Seharusnya ibadah puasa perlu dilihat sebagai motivasi untuk lebih berusaha dan berjaya,'' ujar beliau yang sudah lapan tahun bekerja sebagai pam atendan di Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Berhad (KPPMB), Menglait Gadong, di sini.
Sementara itu, Pengarah Urusan KPPMB, Dato Paduka Haji Ahmad bin Kadi menjelaskan, bahawa pekerja Islam yang bertugas setiap hari akan diberikan insentif berupa kewangan untuk membeli juadah berbuka puasa sebagai pendorong kepada mereka menjalankan ibadah puasa.
Manakala bagi Nur Mahfuzah binti Abas, yang bertugas di salah sebuah kedai membuat roti berkata, pekerja cemerlang mampu menghadapi cabaran dengan baik dan berkesan meskipun sedang berpuasa.
Menurut beliau, puasa sebenarnya adalah 'madrasah' bagi kita membentuk peribadi mulia dan unggul.
''Memang tidak dinafikan bekerja sewaktu bulan Ramadan agak meletihkan. Lebih-lebih lagi harus menghadapi dugaan dengan membuat roti-roti dan kek yang enak, namun semua itu bukanlah harus dijadikan untuk tidak menjalankan ibadah puasa,'' jelasnya.
Berpuasa Ramadan lebih istimewa dan berbeza berbanding berpuasa dalam bulan lain. Puasa bulan Ramadan penuh keberkatan. Kedatangan bulannya dialu-alukan dan pemergiannya ditangisi.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]