Home > Bahasa Melayu
Raih Fadilat Bulan Ramadan
May 31st, 2017 | 07:07 AM | 617 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Umat Islam disaran agar memperbanyakkan amalan berdoa di bulan Ramadan kerana banyak fadilat yang dapat diraih dalam bulan yang mulia ini.
Amalan berdoa boleh saja untuk meminta sesuatu hajat dari Allah Subhanahu Wata'ala ataupun doa bagi meminta keampunan baik bagi diri sendiri ataupun doa untuk keluarga.
Bulan Ramadan adalah bulan keagungan, bulan di mana Allah Subhanahu Wata'ala melimpahkan rahmat dan pelbagai fadilat kepada umatnya yang khusyuk dan tawaduk serta yang benar-benar ingin meraih pahala berlipat ganda yang dijanjikan Allah.
Demikian antara petikan ceramah bertajuk 'Hikmah Bulan Puasa' yang disampaikan oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Ustaz Haji Idris bin Haji Rashid berlangsung di Dewan Al-'Afiah Kementerian Kesihatan, di sini.
Dalam ceramahnya juga menyentuh mengenai kelebihan berpuasa, peringkat-peringkat orang yang berpuasa, amalan-amalan terpuji ketika berpuasa serta keistimewaan malam Lailatul Qadar.
Beliau juga menyarankan agar memperbanyakkan amalan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan bagi meraih fadilat Malam Lailatul Qadar iaitu, malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Antara amalan-amalan tersebut jelasnya, ialah seperti memperbanyakkan istighfar, bersyahadah, berzikir dan berdoa.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Ceramah Khas Awal Bulan Ramadan merupakan salah satu daripada aktiviti keugamaan tahunan Kementerian Kesihatan dan dikelolakan oleh Pejabat Pentadbiran, Kementerian Kesihatan yang bertujuan bagi mengeratkan lagi ukhuwah sesama Muslim di samping mengharapkan ganjaran pahala yang berlipat ganda dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian berkenaan, ketua-ketua serta pegawai-pegawai dan kakitangan di kementerian tersebut.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]