Home > Bahasa Melayu
Golf Amal berjaya kutip BND40,000
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan piala kepada Awang Qawim Haji Aslimon juara Overall Gross, Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan Kali Ke-14, 2016. | Foto: Masri Osman
April 25th, 2016 | 09:57 AM | 1744 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Ahad, 24 April. - Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan Kali Ke-14, 2016 berjaya mengumpulkan dana sebanyak kira-kira BND40,000 sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung yang berakhir hari ini di Kelab Golf Penerbangan Diraja Brunei (RBA Golf Club), di sini.
Dari jumlah berkenaan, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan daripada beberapa pihak dermawan iaitu GHK Motors Sendirian Berhad menyumbangkan sebanyak BND12,000, IBA Petrol Station and Trading sejumlah BND5,000, NBT Brunei Sendirian Berhad dan RBA Golf Club, masing-masing menyumbangkan sebanyak BND3,000 dan BND4,820.
Perlawanan golf amal di hari terakhir itu menyaksikan kehebatan Awang Qawim Haji Aslimon memenangi juara Overall Gross dengan 70 gross dan selain daripada menjulang piala rebutan dan wang tunai, juara juga memenangi nearest to pin di lubang nombor 2.
Sementara itu, Awang Johari Haji Ahmad di tempat kedua dan Awang Seruji Haji Setia di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Manakala bagi kategori Overall Nett dimenangi oleh Awang Haji Patera Madil dan Awang Haji Hafneh Md. Salleh berjaya mengungguli bagi kategori Senior Nett.
Pemenang bagi Divisyen 'A' Nett ialah Leftenan Kolonel Zahrin Zunaidi, sementara Awang Haji Jalaluddin Haji Ghazali memenangi bagi Divisyen 'B' dan Divisyen 'C' Nett pula kepada Awang Aedy Azmani Azahari yang juga berjaya memenangi nearest to pin di lubang nombor 14.
Bagi kategori Ladies Gross dimenangi oleh Dayang Almas Syadwanies Kamis dan Dayangku Siti Nurmashizriah berjaya memintas peserta lain bagi kategori Ladies Nett. Sementara Leftenan Kolonel (B) Haji Ahmad Said berjaya mengungguli bagi Kategori VIP dan Sponsor Nett.
Seramai kira-kira 250 peserta menyertai Kejohanan Golf Amal kali ini selain pertandingan mengukur kehebatan dalam sukan berkenaan di samping mencari bakat-bakat baru dan berkebolehan untuk diketengahkan ke peringkat seterusnya mencerminkan keprihatinan terhadap perkara berkebajikan terutama sekali menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]