Home > Bahasa Melayu
Taklimat Kenali ASEAN Bantu Perkembangan Pembelajaran Pelajar
June 15th, 2017 | 06:56 AM | 1257 views
SERIA
Menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan pelajar sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti. Itulah antara matlamat Taklimat Kenali ASEAN yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI. Taklimat kali ini diadakan di Dewan Maktab Anthony Abell, di sini.
Hadir pada taklimat tersebut ialah Guru Kanan Pentadbiran maktab berkenaan, Awang Zulkifli bin Haji Seri dan tenaga pengajar dari maktab berkenaan.
Taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II dari Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan dan diikuti dengan sesi Kuiz ASEAN yang disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Awang Isa bin Haji Abdul Rahman telah menarik perhatian lebih 250 para penuntut Maktab Anthony Abell yang hadir.
Semasa ditemu bual oleh pihak Pelita Brunei, Guru Kanan Pentadbiran maktab tersebut, Awang Zulkifli antara lain menjelaskan, “Taklimat yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan telah memberi maklumat serta pendedahan mengenai ASEAN dan turut membantu para pelajar dalam pembelajaran secara langsung khususnya bagi mata pelajaran Social Studies bagi Tahun 7 dan 8.”
Katanya lagi, menerusi sesi kuiz yang dijalankan dan juga ganjaran yang diberikan memberi peluang kepada para pelajar untuk lebih aktif dan bersemangat dalam mengaplikasikan pengetahuan mereka.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan atas usaha dan kerjasama dalam membantu perkembangan pembelajaran para pelajar maktab dan berharap kerjasama baik seumpama itu akan berterusan pada masa akan datang.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]