Home > Bahasa Melayu
Seramai 794 Anak Yatim Menerima Sumbangan
June 15th, 2017 | 06:58 AM | 1155 views
TUTONG
Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Daerah Tutong diadakan pagi ini bertempat di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain.
Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Umarali bin Esung dan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong; Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan; Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung di Daerah Tutong.
Terdahulu bacaan ayat suci Al-Quran dibacakan oleh penuntut Mahad Islam Brunei, Awang Amir Asyraf bin Haji Asmali dan terjemahan ayat dibacakan oleh Guru Mahad Islam Brunei, Awang Sheifol bin Md. Heldy.
Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Awang Sahibol Omar bin Haji Mohd Yussof.
Seramai 794 anak yatim yang berusia 18 tahun ke bawah dari daerah ini yang telah berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat, menerima sumbangan derma daripada Tabung Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Tutong dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Sumbangan derma ini antara lain bertujuan untuk menampung perbelanjaan anak-anak yatim bagi sama-sama menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.
Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada anak-anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan GCE 'A' Level, GCE 'O' Level, Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Peperiksaan Sekolah Rendah Ugama bagi daerah ini yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]