Home > Bahasa Melayu
Lebih BND80 Ribu Wang Zakat Diagihkan
June 15th, 2017 | 06:58 AM | 1106 views
GADONG
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) meneruskan lagi Program Tadarus mereka ke Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Gadong di sini.
Mengetuai rombongan itu, Timbalan Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja'ah yang juga mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan acara.
Majlis itu juga diselajurkan dengan Penyampaian Agihan Zakat Wang Tunai kepada seramai 411 Asnaf Fakir Miskin disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Awang Amir Hisham bin Haji Awang Masri yang juga selaku Ahli Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat, Majlis Ugama Islam Brunei.
Para penerima terdiri daripada mereka yang tinggal di Mukim Gadong 'A' dan 'B' iaitu, 125 orang ketua keluarga dan 286 tanggungan masing-masing.
Penyampaian tersebut berjumlah BND87,550 dan diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.
Acara disemarakkan dengan bacaan Al-Quran, Surah an-Nur (ayat 21 hingga ayat 23) oleh Haji Mohd. Daud bin Haji Abd. Kadir, manakala Awang Ilmami bin Haji Othman pula membacakan tafsirannya.
Sementara bacaan Tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Imam balai ibadat berkenaan, Awang Haji Isa bin Haji Saban dan seterusnya mengimamkan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Tadarus Rombongan KHEU selanjutnya akan meneruskan program mereka ke Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar pada Sabtu ini nanti.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]