Home > Bahasa Melayu
Kementerian Pembangunan Ceriakan Anak Yatim
Tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian derma kepada anak-anak yatim
June 18th, 2017 | 07:36 AM | 371 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Bagi menggalakkan dan memberikan kesedaran kepada warga kementerian untuk memperbanyakkan amalan bersedekah pada bulan Ramadan, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran yang diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Derma Kepada Anak-Anak Yatim, diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, di sini.
Seramai 63 anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima sumbangan derma daripada para pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, 35 anak yatim lelaki manakala 28 lagi adalah anak-anak yatim perempuan.
Penyampaian derma disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku wakil peribadi Menteri Pembangunan.
Majlis diserikan dengan Ceramah Khas ‘Sayangilah Anak-Anak Yatim Sepertimana Rasulullah Mencintai Mereka’ yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awang Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.
Aktiviti tahunan Kementerian Perhubungan itu antara lain bertujuan untuk menyemai rasa tanggungjawab para pegawai dan kakitangan dalam sama-sama membantu dan memeduli anak-anak yatim.
Juga hadir, Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit, para pegawai serta kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]