Home > Bahasa Melayu
7,400 Penerima Kurnia Daerah Brunei dan Muara
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik berkenan menyempurnakan penyampaian kurnia kepada golongan tertentu
June 20th, 2017 | 09:25 AM | 1179 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan kurnia peribadi kepada golongan tertentu sempena Hari Raya Aidilfitri 1438 Hijrah / 2017 Masihi.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, seramai 7,400 orang daripada beberapa golongan tertentu yang terdiri daripada golongan orang-orang yang berkeperluan khas dan anak-anak yatim menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman, pagi tadi.
Majlis penyampaian kurnia peribadi Kebawah DYMM disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah, selaku wakil peribadi Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Keberangkatan tiba YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah di Dewan Resepsi dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isteri; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan isteri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Manakala di Baitur Rahmah, keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah dan isteri.
Bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Majlis penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah DYMM akan diteruskan lagi pada hari Selasa, 25 Ramadan 1438 Hijrah bersamaan 20 Jun 2017 Masihi di Istana Nurul Iman; Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong dan Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar bagi Daerah Temburong.
Kurnia Peribadi Kebawah DYMM mencerminkan pemedulian dan keprihatinan baginda yang sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam khususnya dalam kalangan golongan yang memerlukan bantuan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]