Home > Bahasa Melayu
Aktiviti di Bawah Akta Hiburan Awam, Mesti Memohon Kebenaran
June 21st, 2017 | 08:56 AM | 1175 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Berikutan dengan satu artikel yang dikeluarkan oleh akhbar tempatan Borneo Bulletin pada 10 Jun 2017 dan telah juga dilaporkan melalui media sosial yang disebarkan (viral) mengenai hiburan nyanyian yang telah diadakan di Atrium Hall, Ground Floor, Airport Mall semasa mengadakan pameran perdagangan 'Carnival Raya Biskita-Raya Berkat ATB' daripada 24 Mei 2017 hingga 9 Jun 2017 anjuran Syarikat Da Adwa's selaku Event Management telah mendapati pihak penganjur telah tidak memohon kebenaran daripada Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pegawai Melesen bagi Hiburan Awam seperti yang disebutkan dalam Akta Hiburan Awam, Penggal 181 untuk mengadakan hiburan nyanyian pada hari Khamis, 8 Jun 2017.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dalam siaran akhbar hari ini menyatakan bahawa, penganjur juga didapati melanggar syarat yang dikenakan oleh Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri (Perindustrian), selaku Pegawai Melesen mengenai Expo / Pameran Perdagangan.
Sehubungan dengan kesalahan tersebut, Syarikat Da Adwa's tidak akan dibenarkan untuk menganjurkan atau mengadakan apa jua aktiviti yang terkandung dalam Kategori Hiburan Awam di bawah Akta Hiburan Awam (Penggal 181) bagi tempoh satu (01) tahun bermula dari tarikh surat kepada syarikat tersebut dikeluarkan.
Syarikat-syarikat dan orang ramai adalah diingatkan bahawa KHEDN sebagai pihak berkuasa Melesen Hiburan Awam menekankan kepentingan penganjur-penganjur dan orang awam untuk memohon kebenaran daripada Pegawai Melesen bagi sebarang aktiviti di bawah Akta Hiburan Awam (Penggal 181).
Keterangan lanjut mengenai Kategori Hiburan Awam boleh didapati dengan melayari www.moha.gov.bn atau menghubungi talian +673 2223225 ext 327, 332, 333, 334 dan 335.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]