Home > Bahasa Melayu
Pengakap Tunas Berbagi Rasa Kesyukuran
June 21st, 2017 | 09:04 AM | 506 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Di dalam mencari keberkatan di bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini, Pasukan Pengakap Tunas 1021, Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Gadong, Kluster 1 telah mengadakan Program Amal Jalinan Kasih bertempat di Kampung Sengkarai, Tutong.
Menurut Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas 1021, Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Dayang Hajah Nor Rahmat binti Sidin, program amal ini merupakan salah satu kegiatan tahunan Pasukan Pengakap Tunas sekolah berkenaan menjelang bulan Ramadan.
Program Jalinan Kasih ini bertujuan memberi kesedaran kepada ahli-ahli Pengakap Tunas untuk sama-sama berbagi rasa kesyukuran di atas rezeki Allah Subhanahu Wata'ala kepada orang-orang yang memerlukan bantuan. Di samping itu, dapat meringankan sedikit beban perbelanjaan dan keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang kepada penerimanya. Juga dapat memberi pendedahan kepada ahli-ahli Pengakap Tunas bagi sama-sama menzahirkan rasa keprihatinan kepada fakir miskin yang beragama Islam.
Bantuan amal yang berupa barangan makanan harian ini telah disumbangkan sendiri oleh ahli-ahli Pasukan Pengakap Tunas 1021, Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata.
Seramai 5 buah keluarga yang telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan derma amal ini bertempat di rumah masing-masing di Kampung Sengkarai, Tutong.
Turut hadir di majlis penyerahan ini adalah Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong / Ketua Kampung Sengkarai, Awang Haji Mumin bin Rajak; Pesuruhjaya Pengakap Ibu Pejabat Bahagian Kebajikan, Kemasyarakatan dan Alam Sekitar, Awang Haji Md Salleh bin Haji Ahmad dan Pemangku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tutong, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abdul Hadi serta ahli-ahli Pengakap Tunas 1021 Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]