Home > Bahasa Melayu
Biar Lambat Asal Selamat
MENTERI Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat mengagih-agihkan Kad Hari Raya dan buah tangan serta risalah panduan untuk pengguna jalan raya (advisory leaflet) bagi Kempen Beringat-Ingat Keselamatan Jalan Raya di kawasan Centrepoint Gadong
June 21st, 2017 | 10:04 AM | 973 views
GADONG
Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat selaku Penasihat Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), menasihatkan kepada semua pemandu untuk memastikan kereta mereka dalam keadaan yang selamat dan sesuai dipandu di jalan raya, terutama bagi mereka yang membuat perjalanan jauh tambahan lagi dalam cuaca yang tidak menentu pada masa ini.
Terdahulu Yang Berhormat menjelaskan, dalam sedikit masa lagi kita akan meraikan Hari Raya Aidilfitri dan seperti biasa di saat-saat akhir bulan Ramadan ini kita perhatikan bahawa keadaan suasana akan menjadi sibuk termasuk jalan raya di mana kereta-kereta semakin bertambah.
Yang Berhormat menekankan demikian dalam temu bual semasa mengetuai Kempen Beringat-Ingat Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di kawasan Centrepoint Gadong, di sini.
''Adapun tujuan kempen ini ialah untuk menyampaikan suatu mesej kepada orang ramai, khususnya pemandu-pemandu kereta untuk mengamalkan sifat bertolak ansur, di mana sifat bertolak ansur ini merupakan satu amalan yang mulia. Kita harus bersikap bahawa 'Biar Lambat Asal Selamat' serta menyayangi diri, menyayangi anak dan keluarga,'' ujar Yang Berhormat.
Kempen Beringat-Ingat Keselamatan Jalan Raya 2017 dikendalikan oleh MKKJR secara serentak hari ini di Daerah Brunei Muara dan Daerah Belait.
Kempen yang sama juga akan diadakan di Daerah Tutong dan Daerah Temburong pada hari Sabtu 24 Jun 2017 yang akan diketuai oleh Pegawai Daerah masing-masing.
Kempen ini diadakan setiap tahun dengan tujuan untuk sama-sama beringat dan meningkatkan kewaspadaan kepada orang ramai khususnya para pengguna jalan raya, supaya sentiasa mematuhi akta dan peraturan-peraturan lalu lintas jalan raya dan mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah, lebih-lebih lagi ketika hujan serta memakai tali pinggang keselamatan di samping tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Turut hadir mengagih-agihkan kad Hari Raya dan buah tangan serta risalah panduan untuk pengguna jalan raya (advisory leaflet) ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Pengiran Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abd Hamid.
Hadir sama pengarah-pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya, pegawai-pegawai dari Pasukan PDB, Jabatan Pengangkutan Darat serta ahli-ahli MKKJR yang lain.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]