Home > Bahasa Melayu
500 Belia Masjid Khatam Al-Quran
MAJLIS Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara Sempena Tadarus Al-Quran Di Bulan Ramadan bagi Tahun 1438H / 2017M berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam
June 21st, 2017 | 10:08 AM | 2779 views
JERUDONG
Meskipun Ramadan bakal sampai ke penghujungnya namun umat Islam masih giat mengadakan Tadarus yang tiada had batasan umur muda atau sebaliknya.
Dalam mempraktikkan para belia untuk mendekati Al-Quran, kira-kira 500 belia masjid yang telah menyertai Tadarus diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara Sempena Tadarus Al-Quran di Bulan Ramadan bagi Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman yang juga mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan acara.
Bacaan Takhtim dipimpin oleh Kumpulan Belia Masjid Kampung Sungai Besar, manakala bacaan Doa Khatam pula dibacakan oleh belia masjid itu, Awang Md. Nurhazim Wafiuddin bin Haji Kamruzzaman.
Sementara itu, Belia Masjid Universiti Brunei Darussalam, Md. Syahmi bin Haji Abd. Mutalib memimpin bacaan Tahlil dan doa.
Turut menyemarakkan majlis ialah persembahan Dikir Marhaban oleh Kumpulan Belia Masjid Kampung Sungai Besar.
Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam seterusnya dibacakan oleh Belia Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, Awang Md. Nabil Min Fadhlillah bin Haji Abd. Majid.
Acara anjuran kolaborasi antara Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bertujuan untuk menyuntik semangat cinta kepada kitab suci Al-Quran dan beramal dengannya serta mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli kumpulan belia dan beliawanis masjid seluruh negara.
Di samping itu juga adalah untuk menyemarakkan lagi masjid dengan aktiviti-aktiviti keugamaan demi mengukuhkan pembentukan sebuah 'Negara Zikir'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]