Home > Bahasa Melayu
UNISSA Bincang Kerjasama Pendidikan Dengan India
REKTOR Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal menyerahkan cenderahati kepada Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick semasa PYT mengadakan kunjungan di Kampus UNISSA
June 22nd, 2017 | 08:06 AM | 747 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Negara Brunei Darussalam dan India terus berusaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala di bidang pendidikan.
Usaha tersebut dizahirkan melalui kunjungan daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick kepada Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang diadakan di Kampus UNISSA, Gadong.
Kunjungan tersebut antara lain membincangkan ruang kerjasama dalam bidang pendidikan yang boleh diterokai di India.
Dalam perbincangan tersebut, India mengundang pihak UNISSA bagi mengadakan lawatan rasmi dan meninjau ke beberapa universiti di India yang menawarkan kursus dalam bidang perundangan.
Menurut PYT, pada masa ini terdapat beberapa universiti cemerlang di India yang menawarkan kursus / program berkenaan. Di samping itu, pihak PYT juga merancang untuk menjemput pakar ternama dari India untuk mengadakan kuliah khas perundangan dalam masa terdekat. India juga berhasrat untuk membantu UNISSA dalam mengembangkan nama dan reputasinya ke pengetahuan masyarakat di India.
Setakat ini UNISSA telah mempunyai hubungan kerjasama dua hala dengan Darul Huda Islamic University (DHIU), Kerala, India, setelah termeterainya penandatanganan Memorandun Persefahaman (MoU) pada 22 September 2016. Dua orang warganegara India sedang bertugas sebagai Pensyarah di UNISSA.
Sementara itu, sehingga kini seorang pelajar warga India telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Sarjana Muda Shariah (Fiqh & Usul), dan seorang lagi sedang mengikuti program Ijazah Doktor Falsafah Usuluddin. Pihak UNISSA sangat mengalu-alukan pelajar dari India khasnya untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti ini.
Turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah Timbalan Rektor, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, UNISSA.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]