Home > Bahasa Melayu
Timbalan Menteri HEU Selenggarakan Majlis Tadarus
June 22nd, 2017 | 08:12 AM | 845 views
MUARA
Kelebihan bulan Ramadan Al-Mubarak ini seperti lazimnya diisi dengan pelbagai aktiviti yang mendekatkan umat Islam kepada Allah antaranya amalan membaca Al-Quran (Tadarus) serta perkara-perkara kebajikan yang lain berikutan ganjaran pahala yang begitu luas.
Ramadan bakal pergi namun kegiatan keagamaan masih giat dijalankan antaranya Tadarus Al-Quran yang diselenggarakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud yang bermula kelmarin, berakhir dengan Majlis Khatam Al-Quran hari ini di kediamannya di Kampung Sungai Hanching di sini.
Hadir di majlis itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
Juga hadir, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.
Doa Khatam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid RPN Lambak Kanan, Haji Abdul Malik bin Haji Jumat.
Sementara Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat memimpin bacaan Tahlil dan doa serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis juga diserikan dengan Dikir Marhaban daripada pegawai-pegawai masjid.
Sebelum mengakhiri majlis, acara bersungkai beramai-ramai juga disajikan kepada para jemputan yang hadir.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]