Home > Bahasa Melayu
Kerugian Kebakaran Hingga Jun 2017 Cecah BND7,149,955
June 23rd, 2017 | 08:17 AM | 728 views
BERAKAS
Tingkatkan keselamatan dan pencegahan kebakaran, jangan jadikan keriangan menyambut suasana Hari Raya bertukar menjadi kesedihan hanya disebabkan kelalaian, kecuaian serta tidak menitikberatkan aspek keselamatan kebakaran.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lt. Kol. (B) Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman semasa berucap pada Sidang Akhbar Keselamatan Kebakaran Menjelang Hari Raya 2017 di Bilik Mesyuarat Dewan Serbaguna, Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini.
Melihat pada statistik jumlah panggilan kecemasan yang diterima dari Januari hingga Jun 2017, sebanyak 51 panggilan kebakaran dicatatkan dan daripada jumlah tersebut, 31 panggilan bagi kebakaran rumah dan 20 panggilan bagi kebakaran bangunan, dengan anggaran jumlah kerugian sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak BND7,149,955 serta turut melibatkan seorang korban jiwa.
Sementara itu, pada tahun 2016 sebanyak 130 panggilan kebakaran rumah dan bangunan melibatkan anggaran kerugian sebanyak BND7,653,282.50 yang juga melibatkan seorang korban jiwa.
Manakala pada tahun 2015, sebanyak 116 panggilan kecemasan telah diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), yang mana sebanyak 77 panggilan adalah kebakaran rumah dan 39 panggilan kebakaran bangunan serta jumlah anggaran kerugian adalah sebanyak BND11,565,164 dengan melibatkan seorang korban jiwa.
"Oleh itu, langkah-langkah pencegahan awal adalah amat perlu bukan sahaja semasa kita menunaikan ibadah puasa dan menyambut kedatangan Hari Raya, bahkan ia hendaklah dijadikan sebagai amalan keselamatan seharian," tambah Pengarah Bomba dan Penyelamat lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang keraguan atau memerlukan khidmat nasihat mengenai aspek keselamatan pencegahan kebakaran di rumah, boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat JBP melalui talian +673 2380402 / 9.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]