Home > Bahasa Melayu
Aidilfitri Rapatkan Hubungan Dua Hala
June 27th, 2017 | 08:10 AM | 794 views
SUNGAI BESAR
Hikmah Aidilfitri ini setentunya mengakrabkan hubungan yang sedia terjalin serta mendekatkan ukhuwah persaudaraan yang jauh menerusi tradisi kunjung-mengunjungi tanpa mengira apa pun ugama, bangsa dan negara.
Dalam kesempatan itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, menerima kunjungan rombongan daripada Republik Singapura ke rumah terbuka bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, Daraina di Kampung Sungai Besar di sini.
Rombongan tersebut diketuai oleh Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Luar Negeri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Mohamad Maliki bin Osman dan isterinya, Puan Sadiah Shahal.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud dan Datin serta Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai.
Juga menyertai rombongan itu, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Kementerian Pendidikan, Assoc Prof Dr Muhammad Faisal Ibrahim dan isteri; Anggota Parlimen Datuk Bandar, CDC Timur Laut, Desmond Choo.
Rumah terbuka Yang Berhormat Pehin itu juga mengalu-alukan para jemputan terdiri daripada diplomat-diplomat asing ke negara ini dan setentunya inisiatif seumpama ini memberikan kebaikan terutama dari segi persahabatan yang kukuh sekali gus kepada jalinan pelbagai hala.
Selain itu, keramahan Yang Berhormat Pehin serta keluarga juga menjadi keutamaan mereka semasa melayan para tetamu yang datang sambil berinteraksi dalam meraikan kegembiraan Aidilfitri.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]