Home > Bahasa Melayu
Sentiasa Istiqamah Melakukan Amal Ibadat, Kebajikan
KHUTBAH Jumaat semasa dibacakan oleh khatib di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia
July 1st, 2017 | 09:42 AM | 1114 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dalam keghairahan kita meraikan Hari Raya Aidilfitri ini janganlah sampai kita lupa untuk terus melakukan amal ibadat dan berusaha memperbanyakkan diri ke arah yang lebih baik dan sempurna secara istiqamah untuk menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Perkara tersebut antara kandungan yang disampaikan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat dibacakan di masjid-masjid di seluruh negara hari ini.
Khutbah Jumaat juga menjelaskan bahawa, sesungguhnya agama Islam menuntut kita untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal kebajikan.
''Oleh itu, apa yang kita amalkan dan kerjakan di bulan Ramadan seperti mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, bertadarus, berzikir, berdoa, beriktikaf, bersedekah dan sebagainya, semua itu hendaklah diteruskan dan diamalkan di bulan-bulan yang lain untuk menjadi pembakar semangat supaya kita terus berusaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Janganlah hendaknya amalan-amalan itu dilakukan secara berkala dan bermusim, tetapi eloklah dilakukan secara istiqamah atau konsisten yakni berterusan,'' tambahnya lagi.
Katanya, istiqamah merupakan salah satu sifat yang mulia lagi terpuji yang sangat dituntut oleh Allah Subhanahu Wata'ala agar kita sentiasa taat kepadanya, itulah istiqamah yang ditekankan dalam kitab suci Al-Quran.
Dalam membina kekuatan dan keazaman untuk sentiasa berterusan dalam melakukan amal kebajikan, kita dituntut untuk menerapkan sifat-sifat yang terpuji dan nilai-nilai murni yang telah kita semai di sepanjang bulan Ramadan.
''Perlu diketahui, istiqamah yang dimaksudkan itu ialah berdiri teguh di atas jalan yang lurus, berpegang kukuh kepada akidah Islam dan melaksanakan syariatnya dengan tekun, tidak berubah dan tidak berpaling dalam apa jua keadaan sekalipun.
''Ada pun dalam kita beristiqamah, walaupun dengan amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih afdal atau lebih baik daripada melakukan amalan yang banyak tetapi hanya sekali sekala,'' jelas Khutbah Jumaat lagi.
Sesungguhnya orang yang berterusan dalam mengerjakan ibadat, beramal kebajikan, berakhlak mulia dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi larangannya dijanjikan dengan pelbagai ganjaran sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Fushshilat ayat 30 : Tafsirnya : ''Sesungguhnya orang-orang yang berkata : Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendirian, maka malaikat akan turun kepada mereka sambil berkata, janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita, serta bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.''
Daripada ayat Al-Quran tersebut, menjelaskan, terdapat beberapa hikmah terkandung dalam beristiqamah, antaranya ialah seseorang yang istiqamah dalam amal ibadahnya akan selalu didatangi oleh para malaikat dan ia merupakan satu keuntungan disebabkan malaikat itu membawa rahmat.
Kedua, seseorang yang istiqamah, tidak mudah merasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinannya, kukuh pendiriannya dan besar harapannya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Ketiga, orang yang istiqamah tidak mudah merasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu, kerana ia merasa semua itu adalah memang milik Allah Subhanahu Wata'ala.
Manakala keempat ialah mereka yang istiqamah juga mendapat balasan syurga yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Memandangkan istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan ditambah pula dengan ganjaran yang sangat banyak, maka beristiqamahlah pada setiap amal ibadat dan amalan yang berkebajikan dan ditinggalkanlah perkara-perkara yang munkar.
Mudah-mudahan dalam kita beristiqamah akan dapat membentuk diri kita menjadi orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]