Home > Bahasa Melayu
Raptai penuh Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Brunei dan Muara
Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor
July 20th, 2017 | 10:01 AM | 3262 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Persiapan bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara (DBM) sedang rancak dijalankan.
Hadir meninjau lebih dekat lagi persiapan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71 Tahun.
Juga menyertai tinjauan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Haji Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, Awang Muhammad Sunadi bin Haji Buntar dan Awang Haji Idris bin Haji Ali serta Pegawai DBM, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi bagi DBM.
Pada tahun ini, Persembahan Khas bertemakan 'Raja Peneraju Rakyat Bersatu' yang terdiri daripada penuntut-penuntut dari sekolah-sekolah kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah rendah hingga ke peringkat menengah serta penyertaan dari agensi kerajaan dan swasta.
Raptai penuh dengan menumpukan sepenuhnya atur cara keberangkatan Kebawah DYMM bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di DBM.
Pegawai DBM, Awang Misle dalam temu bual menjelaskan bahawa persiapan untuk Majlis Ramah Mesra ini yang akan diadakan pada 23 Julai telah dirancang dari bulan Disember 2016.
Menurutnya, pada tahun ini, latihan telah dijalankan pada seawal bulan April lepas dengan didahulukan dengan pelatih-pelatihnya dahulu dan kemudian barulah dilatih di beberapa sekolah pada awal 1 Mei lepas.
"Latihan-latihan terpaksa dihentikan sempena bulan puasa dan selepas itu barulah dimulakan dengan latihan bermula 10 Julai lalu dan latihan di padang telah dimulakan pada 17 Julai sesi latihan. Pada hari ini raptai penuh," jelasnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]