Home > Bahasa Melayu
Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah ristaan sepanjang zaman
KEBAWAH DYMM bersama kerabat diraja yang lain berkenan menerima junjung ziarah daripada peserta Persembahan Khas.
July 24th, 2017 | 08:47 AM | 1394 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Segenap lapisan rakyat dan penduduk di daerah ini sejak awal pagi lagi sudah membanjiri Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara bagi menanti keberangkatan tiba raja yang dikasihi bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara (DBM)sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71 Tahun. DBM merupakan daerah yang terakhir bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah berkenaan yang tetap menjadi ristaan sepanjang zaman. Ratusan murid sekolah-sekolah rendah dan menengah beratur di sepanjang tepi jalan raya mengibarkan bendera-bendera kecil Negara Brunei Darussalam bagi mengalu-alukan keberangkatan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama kerabat diraja yang lain. Keberangkatan tiba Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-71; Pegawai Daerah Brunei Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi sambutan. Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen. Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dikumandangkan, diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei diikuti dengan laungan tiga kali 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' oleh penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat berbilang kaum dan semua yang hadir. Majlis diteruskan dengan persembahan khas bertemakan 'Raja Peneraju, Rakyat Bersatu' daripada 500 peserta terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah rendah dan menengah serta puak dan masyarakat Brunei Muara. Seterusnya baginda berserta kerabat diraja dijunjung bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi, Jawatankuasa Perayaan, penghulu-penghulu, peserta-peserta persembahan khas dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat dan penduduk DBM. Pada Majlis Junjung Ziarah itu, Kebawah DYMM juga berkenan menerima beberapa pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-71 Tahun. Baginda berserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Persantapan Lapau yang didahului dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah DBm, Pengiran Dr. Haji Badaruddin bin Pengiran Abdul Rahman. Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan memotong Kek Hari Keputeraan dan menerima pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-71 Tahun. Sebelum berangkat meninggalkan Dewan Persantapan Dewan Utama, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]