Home > Bahasa Melayu
Mukim Liang juara Ten Pin Boling perayaan
MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Palawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku penaung Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait hadir selaku tetamu kehormat pada kejohanan tersebut. Oleh : Noraisah Haji Muhammed / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
July 31st, 2017 | 09:17 AM | 891 views
SERIA
Kejohanan Ten Pin Boling sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-71 Tahun peringkat Daerah Belait berakhir hari ini dengan menyaksikan pasukan Mukim Liang, Lumut muncul juara keseluruhan.
Pasukan Mukim Liang, Lumut menerima pingat emas, wang tunai berserta Piala Pusingan yang disumbangkan oleh Plaza Sutera Biru.
Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Mukim Gadong, diikuti di tempat ketiga oleh Mukim Seria, tempat keempat Mukim Berakas dan tempat kelima diraih oleh Kelab Boling (iBowl).
Hadir selaku tetamu kehormat menyampaikan piala kejohanan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Penaung Persatuan Boling, berlangsung di Grand Seria Bowling Centre.
Kejohanan anjuran Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait dengan kerjasama Plaza Sutera Biru, Kuala Belait itu bermula sejak 21 Julai lalu disertai oleh lapan buah pasukan, iaitu Mukim Kuala Belait; Mukim Seria; Mukim Liang; Syarikat Brunei Shell; Mukim Berakas; Mukim Gadong; Mukim Serasa dan Kelab Boling (iBowl) dengan setiap pasukan terdiri daripada 10 pemain dan mempertandingkan 14 kategori.
Menerusi temu bual Pelita Brunei bersama Setiausaha Kedua, Dayang Hajah Aminah binti Haji Abdul Rahman menerangkan mengenai perancangan yang bakal diungkayahkan oleh Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait, iaitu untuk mengadakan Kejohanan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada bulan Oktober nanti.
Kejohanan tahunan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan dari kelab-kelab boling Daerah Brunei dan Muara.
Antara lain, kejohanan dihasratkan untuk meningkatkan mutu permainan sukan boling di Daerah Belait melalui berpasukan, berdisiplin dan mempelajari tentang pengurusan yang betul dan berkesan dalam hal sukan boling.
Selain itu, ia juga untuk mengenal pasti pemain-pemain yang berpotensi yang boleh diketengahkan bagi mewakili Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait bagi penyertaan kejohanan pada peringkat kebangsaan dan jemputan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]